Belanjawan 2027: AMK Sabah kemuka tujuh tuntutan

Iklan
AMK Sabah mengemukakan tujuh tuntutan untuk dipertimbangkan memfokuskan kepada peluang ekonomi dan masa depan golongan muda. Foto hiasan

KOTA KINABALU - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah mengemukakan tujuh tuntutan untuk dipertimbangkan kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

Antara tuntutan yang dikemukakan ialah berkaitan peluang pekerjaan, pendapatan, keusahawanan, pendidikan, kos sara hidup serta pembangunan infrastruktur luar bandar.

Iklan
Iklan

Ketua AMK Sabah, Zaidi Jatil berkata, cabaran berkenaan perlu diberikan perhatian serius memandangkan kadar pengangguran Sabah bagi 2025 adalah 7.2 peratus berbanding kadar nasional sebanyak 3.0 peratus.

"Angka ini menunjukkan bahawa Sabah masih berdepan cabaran besar dalam menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi kepada rakyatnya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Zaidi berkata, tuntutan pertama ialah memperluaskan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan anak muda dengan menarik lebih banyak pelaburan serta mewujudkan pekerjaan berkualiti khususnya dalam sektor perindustrian, pelancongan, pertanian moden, teknologi dan ekonomi digital.

Sehubungan itu, AMK Sabah mencadangkan inisiatif khas bagi mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan berkualiti untuk anak muda Sabah secara berperingkat melalui kerjasama kerajaan, agensi pembangunan dan sektor swasta.

Iklan

Bagi tuntutan kedua katanya, kerajaan perlu mewujudkan dana khas usahawan muda Sabah menerusi geran permulaan, pembiayaan mikro, latihan perniagaan dan bimbingan pemasaran, dengan keutamaan kepada usahawan muda luar bandar dalam sektor pertanian, penternakan, perikanan, makanan, perkhidmatan dan perniagaan digital.

Beliau berkata, tuntutan ketiga ialah memperkukuh pendidikan dan latihan kemahiran TVET dengan memperluas bantuan pendidikan tinggi, biasiswa serta pusat latihan kemahiran, khususnya bagi anak muda daripada keluarga berpendapatan rendah dan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman serta luar bandar.

"Latihan yang ditawarkan mestilah bersesuaian dengan keperluan industri supaya anak muda mempunyai peluang pekerjaan yang lebih jelas selepas menamatkan pengajian," katanya.

Zaidi

Menurut Zaidi, tuntutan keempat pula ialah menangani kos sara hidup dan memperluas perumahan mampu milik termasuk akses kepada skim pembiayaan rumah pertama serta bantuan bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Mengulas lanjut, tuntutan kelima ialah merapatkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar menerusi penambahbaikan jalan raya, bekalan air bersih, elektrik dan capaian internet, khususnya di kawasan pedalaman seperti Kota Marudu, Pitas, Beluran dan Tongod.

"Anak muda yang tinggal di kampung mesti diberikan peluang yang adil untuk menikmati kemajuan teknologi dan pembangunan ekonomi seperti mereka yang tinggal di kawasan bandar," katanya.

Zaidi berkata, tuntutan keenam pula ialah memperkasa sukan, kepimpinan dan pembangunan belia dengan meningkatkan peruntukan bagi kemudahan pusat aktiviti untuk belia, selain memperkukuh program kepimpinan, kesukarelawanan dan pembangunan sahsiah.

Katanya, tuntutan ketujuh ialah memastikan agenda Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) memberikan manfaat langsung kepada generasi muda menerusi pembangunan ekonomi, pendidikan, infrastruktur dan peluang pekerjaan yang lebih adil serta seimbang.

"Bagi generasi muda, MA63 bukan sekadar soal sejarah dan hak yang termaktub dalam perjanjian, tetapi juga berkaitan harapan untuk menikmati pembangunan yang lebih adil dan seimbang dalam Persekutuan Malaysia," katanya.

Beliau berkata, perhatian terhadap pembangunan generasi muda amat penting memandangkan Sabah masih mencatatkan kadar kemiskinan mutlak tertinggi di Malaysia pada 2024, iaitu 17.7 peratus, walaupun kadar itu menunjukkan penurunan berbanding 2022.

"Anak muda Sabah tidak meminta keistimewaan, tetapi mahukan peluang yang adil untuk membina masa depan. Kita mahu mereka mampu belajar, bekerja, berniaga dan berjaya di negeri sendiri tanpa perlu meninggalkan kampung halaman kerana kekurangan peluang.

"Harapan kita agar Belanjawan 2027 bukan sekadar dilihat daripada jumlah peruntukan yang diumumkan, tetapi dinilai melalui perubahan sebenar yang dapat dirasai dalam kehidupan rakyat," katanya.