Lima penerbangan terjejas di Senai akibat jarak penglihatan rendah - Anthony

Iklan
Lima penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) terjejas pada pagi Khamis, selepas pesawat tidak dapat mendarat dan berlepas berikutan jarak penglihatan yang sangat rendah akibat cuaca buruk. Gambar hiasan

ISKANDAR PUTERI- Lima penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) terjejas pada pagi Khamis, selepas pesawat tidak dapat mendarat dan berlepas berikutan jarak penglihatan yang sangat rendah akibat cuaca buruk.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, keadaan itu menyebabkan beberapa penerbangan terpaksa ditangguhkan dan dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta Lapangan Terbang Changi, Singapura.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, tindakan itu perlu bagi memastikan semua operasi penerbangan mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.

"Pesawat terpaksa dilencongkan kerana keselamatan adalah keutamaan. Sekiranya berlepas sekali pun, tetapi tidak boleh mendarat di Senai, adalah lebih baik untuk menanti di lapangan terbang berlepas seperti KLIA," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Armada Lori Terminal Berkuasa Elektrik di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah, di sini, pada Khamis.

Turut hadir, Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman.

Iklan

Mengulas lanjut, Anthony berkata, penerbangan beliau dari KLIA ke Senai yang sepatutnya berlepas pada 6.45 pagi turut terjejas susulan arahan Kawalan Trafik Udara (ATC).

Menurutnya, beliau bersama penumpang lain terpaksa menunggu hampir satu jam 45 minit di dalam pesawat sebelum dibenarkan berlepas kira-kira jam 9 pagi selepas keadaan cuaca beransur pulih.

"Apabila saya mendarat di Senai, memang terdapat agak ramai penumpang yang masih terkandas dan belum berlepas.

"Ini kerana penerbangan pelepasan (outbound) terjejas akibat kelewatan ketibaan pesawat yang dilencongkan sebelum itu," katanya.

Anthony Loke berkata, gangguan berkenaan bersifat sementara dan keadaan sedang dipantau rapi.

"Saya yakin operasi penerbangan di LTAS akan kembali pulih sepenuhnya dalam tempoh dua hingga tiga jam lagi," katanya.