SHAH ALAM - Kerajaan disaran menyemak dan menaikkan kadar Bayaran Imbuhan Sara Hidup (BISH), Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) dan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) agar lebih relevan dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini.
Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Sekolah Tamil Malaya (KKGSTM) Negeri Sembilan, S Tharmaraj berkata, semakan berkenaan wajar dipertimbangkan menjelang pembentangan Belanjawan 2027 pada Jumaat.
"Walaupun kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif penambahbaikan kebajikan penjawat awam, termasuk penyelarasan gaji melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), isu kecukupan elaun tetap masih memerlukan perhatian khusus.
"Kerajaan perlu mempertimbangkan satu mekanisme penyelarasan kadar elaun yang lebih adil, menyeluruh dan bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu beliau menjelaskan, kadar ITP sebanyak RM300 sebulan bagi kategori pegawai tertentu dilihat semakin tidak sepadan dengan kadar sewaan kediaman, khususnya di kawasan bandar dan pusat pentadbiran seperti Putrajaya, Kuala Lumpur serta bandar utama lain.
Malah di Putrajaya, beliau memaklumkan, kadar sewa sebuah bilik boleh mencecah RM600 sebulan, iaitu dua kali ganda daripada kadar penetapan ITP.
"Keadaan ini menunjukkan sebahagian penjawat awam terpaksa menanggung perbezaan kos perumahan menggunakan pendapatan sendiri, sedangkan mereka mempunyai komitmen keluarga, pengangkutan, makanan, pendidikan anak-anak dan keperluan asas lain.
"Bagi golongan guru khususnya mereka yang ditempatkan jauh dari kampung halaman atau keluarga, beban ini menjadi lebih ketara apabila perlu menanggung kos tempat tinggal dan perjalanan secara serentak," ujarnya.
Tharmaraj berkata, kebajikan guru mempunyai kaitan rapat dengan kualiti pendidikan kerana golongan itu bukan sahaja bertanggungjawab terhadap pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, malah pembangunan sahsiah murid, pengurusan sekolah, aktiviti kokurikulum serta pelbagai program pendidikan.
Menurutnya, dalam keadaan kos sara hidup yang terus meningkat, tekanan kewangan boleh menjejaskan kesejahteraan emosi, motivasi serta keseimbangan kehidupan dan pekerjaan seseorang pendidik.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan semakan menyeluruh terhadap BISH, ITP dan ITKA dibuat dengan mengambil kira Indeks Harga Pengguna, kos perumahan, lokasi penempatan, kadar inflasi serta keperluan sebenar isi rumah penjawat awam.
"Kerajaan juga boleh mempertimbangkan pendekatan lebih bersasar mengikut kawasan penempatan dan kategori perkhidmatan supaya bantuan yang disalurkan benar-benar mencerminkan perbezaan kos kehidupan antara kawasan bandar, pinggir bandar dan luar bandar.
"Keperluan menjaga kebajikan penjawat awam tidak seharusnya dipandang sebagai perbelanjaan semata-mata, sebaliknya pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal insan dan keberkesanan pentadbiran negara.
"Kebajikan penjawat awam bukan sekadar soal kenaikan elaun, tetapi keadilan, kesejahteraan dan penghargaan terhadap pengorbanan mereka yang terus berkhidmat untuk rakyat dan negara," ujarnya.