Belanjawan 2027 diharap tumpu perkara digariskan dalam RMK13 - Pakar

Iklan
Anuar

SHAH ALAM - Pakar pendidikan berharap Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan esok akan memberi tumpuan terhadap perkara- perkara yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, ini bagi memastikan segala hasrat dan sasaran yang ditetapkan dapat direalisasikan sepenuhnya menjelang 2030.

Iklan
Iklan

Menurutnya, menjadi kebimbangan apabila banyak perkara yang telah disebut oleh kepimpinan negara namun dari segi pelaksanaannya belum dilihat secara jelas.

"Apakah ia pernah dilaksanakan di peringkat operasi? Jadi kita harap dalam bajet yang akan datang ini, perkara-perkara yang telah disebut dalam RMK13 itu mesti dilaksanakan.

Iklan

"Kalau kita tengok di Sarjana Impian tempat saya dahulu, 11 tahun kemudian baru kita dapat sekolah yang diminta.

Beliau berkata demikian menerusi Wacana Sinar Edisi ke-490 bertajuk ‘Belanjawan 2027: Gula-gula Pilihan Raya atau Remedi Rancangan Malaysia? yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Turut menjadi panel ialah Profesor Ekonomi UKM, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali dan Pencipta Kandungan Ekonomi, Faiz Ahmad manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Anuar berpendapat, isi perancangan jangka panjang negara mempunyai sedikit perbezaan dengan pemikiran.

"Pemikiran bajet kita itu lebih terletak kepada apa yang dia dapat, tapi sepatutnya bajet itu menjelaskan kepada kita untuk lima tahun lagi, apa negara kita akan jadi.

"Jadi saya rasa kita, kena ada kesinambungan dan kesejajaran antara RMK 13 dengan bajet pada setiap tahun," jelasnya.