El Nino terus mengganas

Iklan
Fenomena itu kini terbentuk dengan kukuh dan semakin menguat dengan pantas.

GENEVA - El Nino dijangka semakin intensif sebelum mencapai kemuncaknya pada Disember depan.

Amaran itu diberikan Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) menerusi kemas kini iklim bermusim bulanan pada Khamis yang meramalkan ia sebagai antara cuaca paling ekstrem sejak 1950.

Iklan
Iklan

Fenomena cuaca semula jadi itu akan membawa suhu lebih tinggi ke sebahagian besar dunia, sekali gus memburukkan lagi kesan perubahan iklim yang berpunca daripada aktiviti tidak terkawal manusia.

"Ia menyebabkan suhu melebihi purata di sebahagian besar benua dan mengubah corak hujan serta meningkatkan risiko kemarau dan banjir di beberapa wilayah," menurut laporan itu lagi.

Iklan

Ketua WMO, Celeste Saulo berkata, fenomena El Nino kini telah terbentuk dengan kukuh dan semakin menguat dengan pantas.

“Ramalan kami menunjukkan kebarangkalian hampir 100 peratus bahawa fenomena ini akan berterusan sehingga Februari 2027,” ujarnya.

Iklan

Suhu permukaan laut di kawasan tropika Pasifik tengah dan timur diramalkan mencecah paras tertinggi sepanjang Oktober hingga Disember 2026 depan.

Saulo menjelaskan bahawa El Nino tidak menambah haba baharu kepada bumi sebaliknya membebaskan haba yang tersimpan di lautan yang dijangka mempengaruhi corak cuaca dan memberi kesan terhadap ekonomi, ekosistem serta komuniti di seluruh dunia.

Ramalan itu dibuat berdasarkan konsensus 13 pusat meteorologi kebangsaan dan antarabangsa terkemuka. El Nino sebelum ini turut menyumbang kepada peningkatan suhu global menjadikan 2023 tahun kedua paling panas dalam rekod manakala 2024 sebagai suhu tertinggi pernah dicatatkan iaitu kira-kira 1.55 darjah Celsius melebihi purata suhu era praindustri antara 1850 hingga 1900. - AFP