PONTIANAK – Kerajaan Indonesia berdepan tindakan undang-undang selepas sekumpulan plaintif menuduh pihak berkuasa melakukan kecuaian serius dalam menangani kebakaran hutan yang mencetuskan jerebu tebal di beberapa kawasan Borneo.
Kes tindakan berkumpulan itu mula didengar di sebuah mahkamah di Pontianak, Kalimantan Barat pada Rabu.
Empat plaintif termasuk cawangan tempatan pertubuhan hak Orang Asli, AMAN memfailkan saman berkenaan bulan lalu.
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan Gabenor Kalimantan Barat antara 10 defendan yang dinamakan dalam tindakan itu.
Peguam plaintif, Glorio Sanen berkata, saman tersebut bertujuan menangani masalah kebakaran tahunan yang dikaitkan dengan kemusnahan hutan dan diburukkan tahun ini oleh fenomena El Nino yang mencetuskan kemarau luar biasa.
Indonesia sejak beberapa minggu lalu bergelut mengawal kebakaran di Sumatera, Papua dan Borneo sehingga asap tebal merebak ke Malaysia serta Singapura.
Di Kalimantan Barat, jerebu menyebabkan sekolah ditutup dan ratusan penduduk mendapatkan rawatan akibat masalah pernafasan.
Menurut AFP, tiada seorang pun defendan hadir pada prosiding pertama itu.
Plaintif menuduh kerajaan gagal menangani masalah yang berulang setiap tahun dan mahu kebakaran serta jerebu diisytiharkan sebagai bencana nasional.
Mereka turut menuntut langkah pemulihan menyeluruh termasuk kos rawatan kesihatan penduduk yang terjejas ditanggung kerajaan.
Kes serupa yang difailkan di Sumatera Selatan tahun lalu bagaimanapun telah ditolak mahkamah. - AFP