Tiga terbunuh, 36 cedera dalam serangan di dua lapangan terbang Arab Saudi

Iklan
Jadual penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Abha terpaksa ditunda sementara waktu susulan serangan oleh tentera Houthi. - Agensi

ISTANBUL - Tiga orang terbunuh dan 36 yang lain cedera dalam serangan ke atas dua lapangan terbang di Arab Saudi, kata Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam (GACA) kerajaan itu pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi

Menurut GACA, Lapangan Terbang Antarabangsa Abha dan Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh menjadi sasaran dalam dua serangan berasingan pada Selasa dan Rabu, dengan pihak berkuasa kecemasan dan berkaitan bertindak balas terhadap kedua-dua insiden itu.

Iklan
Iklan

Serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Abha membunuh dua penduduk iaitu seorang warga Maghribi dan seorang warga Algeria, serta mencederakan 28 orang, kata pihak berkuasa.

Mereka yang cedera termasuk dua rakyat Saudi dan penduduk warga Bangladesh dan Filipina, dengan kecederaan dari kecil hingga serius, tambah GACA.

Iklan

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid, seorang warga Sudan terbunuh dan lapan orang cedera, termasuk lima warga Saudi, dua warga Mesir dan seorang rakyat Pakistan, kata pihak berkuasa.

Kesemua mereka yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan perubatan, kata GACA, sambil menambah bahawa kedua-dua serangan itu juga telah menyebabkan kerosakan material.

Iklan

Menurut pihak berkuasa, pihaknya akan terus menyelaras dengan agensi keselamatan berkaitan untuk menilai kerosakan dan mengambil langkah perlu bagi memastikan keselamatan penumpang dan pekerja lapangan terbang.

Houthi Yemen mendakwa pada Rabu bahawa mereka telah melakukan serangan yang menyasarkan kedua-dua lapangan terbang itu.

Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree berkata kumpulan itu menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh dengan dron dan menjalankan satu lagi operasi ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Abha menggunakan peluru berpandu balistik dan dron.

Serangan itu berlaku di tengah-tengah peningkatan antara Houthi dan gabungan pimpinan Arab Saudi yang menyokong kerajaan Yemen yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Arab Saudi telah mengetuai pakatan tentera yang menyokong kerajaan Yemen menentang Houthi sejak Mac 2015. - Bernama