SEREMBAN - Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun meluahkan rasa terkejut apabila 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang telah diwartakan pemberhentiannya memfailkan saman terhadap kerajaan negeri.
Menurutnya, perkara berkenaan tidak pernah berlaku dalam sejarah negara ini.
"Hari ini saya terperanjat apabila 10 mantan Exco Negeri Sembilan telah memfailkan saman kepada kerajaan negeri, kerajaan mereka sendiri.
"Ini merupakan satu perkara yang tak pernah berlaku. Saya pun rasa ramai tertanya-tanya dan menghubungi saya menyatakan apa yang berlaku hari ini," katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook pada Khamis.
Sebelum ini media melaporkan, seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memfailkan saman pemula terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan kerajaan Negeri Sembilan di Mahkamah Tinggi di sini bagi mencabar tindakan membatalkan pelantikan mereka sebagai Exco.
Aminuddin berkata, timbul persoalan siapa yang menasihatkan kesemua Exco terbabit untuk mengambil tindakan demikian.
Ujarnya, sekiranya ada usaha dilakukan oleh pihak kerajaan negeri lebih awal, semestinya isu terbabit dapat diselesaikan.
"Kerajaan saman kerajaan, menuntut kos daripada kerajaan. Tak pernah dalam sejarah Malaysia, tak tahu bagaimana ia boleh berlaku dan siapa yang menasihati dan akhirnya mengundang banyak perkara yang sepatutnya telah diselesaikan lebih awal," katanya.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, beliau yakin semua pihak menerima keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu yang memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Justeru beliau berharap, parti yang membentuk kerajaan Negeri Sembilan dapat melaksanakan tanggungjawab mereka sebaik mungkin.
"Saya akur, teman-teman daripada Pakatan Harapan akur, teman-teman daripada Bersatu pun akur tentang kekalahan dan mereka (BN-PN) mendapat majoriti dua pertiga untuk membentuk sebuah kerajaan yang kuat.
"Sepatutnya mereka boleh berjalan dengan lebih baik, lebih lancar dan dapat membantu pembangunan negeri dan rakyat Negeri Sembilan ini," katanya.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, meskipun telah bulan masuk Oktober, namun krisis yang sedang berlaku di negeri ini masih berterusan sehingga menimbulkan drama yang akhirnya merugikan negeri.
Jelas beliau, situasi itu boleh membuatkan rakyat di Negeri lain mentertawakan Negeri Sembilan.
"Jangan kita digelakkan oleh rakyat Malaysia dan rakyat negeri-negeri lain yang melihat kita tidak bijaksana dalam melaksanakan tanggungjawab kita," katanya.
"Saya rasa peluang dan ruang masih ada untuk terus mentadbir dengan baik dan selamat menjalankan tanggungjawab kita," katanya.
Tambahnya, kerajaan hari ini tidak seharusnya terus berpolitik tetapi perlu menjalankan tanggungjawab yang telah diberikan rakyat.
"Bukannya hari ini kita terus berpolitik, bukan sesama orang politik, tetapi sekarang sesama.... saya pun tak tahu, sesama kerajaan. Saya pun tak tahu mana satu kerajaan sekarang," ulasnya.
Selain itu, beliau turut berharap agar tidak dituduh terbabit memberikan nasihat atau maklumat yang tidak betul berhubung perkara yang sedang berlaku.
"Tapi lihatlah sendiri sebagai rakyat, sebagai penyokong, sebagai pendukung, apa yang berlaku dan adakah ia munasabah untuk berlaku di Negeri Sembilan," katanya.