Belanjawan 2027: 60 peratus pengusaha restoran Kelantan ‘lemas’, harap gaji minimum ditangguh

Iklan
Che Syadina Omar (tengah,hadapan) bersama ahli-ahli yang bernaung dibawah PERMEKA berharap pihak kerajaan akan mendengar serta mempertimbangkan luahan mereka selepas kira-kira 60 peratus pengusaha restoran di negeri ini kini berada dalam keadaan sukar untuk bertahan susulan kenaikan harga bahan mentah, minyak dan kos operasi lain. Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

KOTA BHARU - Ketika rakyat menanti pembentangan Belanjawan 2027 pada Jumaat, pengusaha restoran di Kelantan berharap kerajaan tidak melaksanakan dahulu cadangan kenaikan gaji minimum kerana mereka kini semakin terhimpit dengan peningkatan kos operasi.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Restoran Melayu Kelantan (PERMEKA), Che Syadina Omar Che Daud berkata, kira-kira 60 peratus pengusaha restoran di negeri ini kini berada dalam keadaan sukar untuk bertahan susulan kenaikan harga bahan mentah, minyak dan kos operasi lain.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada kadar baharu yang dijangka diumumkan kerajaan hanya akan menambah tekanan kepada pengusaha restoran yang kebanyakannya beroperasi dengan margin keuntungan kecil.

Kalau gaji naik lagi, masalahnya bukan pekerja sahaja yang dapat gaji lebih, tetapi benda lain juga akan ikut naik, terutama harga barang," katanya kepada pemberita.

Iklan

Ujar beliau, operasi restoran memerlukan jumlah pekerja yang ramai berbanding sesetengah sektor lain, sedangkan jumlah jualan tidak semestinya tinggi bagi menampung peningkatan kos tenaga kerja.

"Contohnya, kalau jualan RM3,000 sehari pun kita sudah memerlukan kira-kira 10 orang staf.

Iklan

"Jadi kalau gaji naik lagi, memang pening kepala kita nak fikir margin, nak beli barang dan nak tanggung kos operasi," katanya.

Che Syadina memberitahu, kenaikan harga bahan mentah juga semakin dirasai pengusaha apabila harga telur, ayam dan bahan masakan lain meningkat, namun kebanyakan restoran memilih untuk tidak menaikkan harga menu bagi mengelakkan pelanggan terbeban.

Menurut beliau, pengusaha restoran terpaksa menyerap sebahagian kenaikan kos itu sehingga keadaan kembali stabil, namun proses tersebut mengambil masa yang panjang dan mereka kini berdepan kenaikan demi kenaikan.

"Pengusaha restoran kini bergolok-bergadai. Bila berlaku kenaikan, kita ambil masa lama untuk stabil semula, kadang-kadang sampai setahun. Tetapi sebelum sempat stabil, ada pula kenaikan baharu," katanya.

Jelas beliau, keadaan itu turut menyebabkan sebahagian restoran terpaksa ditutup, sekali gus memberi kesan kepada pekerja apabila setiap premis yang gulung tikar bermakna peluang pekerjaan untuk beberapa keluarga turut terjejas.

Tambah Che Syadina, sebahagian pengusaha juga masih tidak mampu membayar gaji RM1,700 kepada pekerja sedia ada, terutama restoran yang mempunyai jumlah jualan rendah.

Ujarnya, kenaikan gaji minimum turut menimbulkan masalah apabila pekerja baharu meminta gaji sama dengan kadar minimum ditetapkan walaupun belum mempunyai pengalaman, sedangkan pekerja lama yang sudah bertahun-tahun berkhidmat mungkin masih menerima gaji lebih rendah.

"Pekerja yang sudah 10 tahun dengan kita pun kita masih tidak mampu beri RM1,700, tetapi pekerja baharu yang belum ada pengalaman masuk dan terus minta RM1,700. Kita pula kena ambil masa untuk latih mereka dan ajar SOP serta aliran kerja kedai," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan menggunakan Belanjawan 2027 untuk membantu mengurangkan kos operasi pengusaha restoran terlebih dahulu, khususnya harga bahan api dan bahan mentah, selain memperkukuh penguatkuasaan supaya penurunan harga kos dapat dirasai pengguna dan peniaga.

"Kita bukan tidak mahu pekerja dapat gaji lebih baik, tetapi kerajaan perlu lihat kemampuan pengusaha kecil.

"Jangan laksanakan dulu kenaikan gaji minimum. Beri ruang kepada kami untuk bertahan dan stabilkan perniagaan," katanya.