KUALA LANGAT – Tapak pembinaan di sini yang dipercayai dijadikan sindiket sebagai tempat seleweng diesel bersubsidi bagi mengaburi pihak berkuasa dibongkar pada Rabu.
Op Tiris 4.0 digerakkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pelabuhan Klang.
Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa'ari berkata, operasi bermula jam 5.15 petang bertindak menyita sebuah lori tipper dan lori tangki, satu unit skid tank, tiga unit IBC tank, pam penyedut serta hos penyambung yang digunakan bagi tujuan penyelewengan cecair yang disyaki minyak diesel.
Menurutnya, secara keseluruhannya, sebanyak 8,050 liter minyak diesel berjaya dirampas dengan nilai sitaan keseluruhan dianggarkan berjumlah hampir RM200,000.
"KPDN kemudian menahan dua lelaki tempatan berumur lingkungan 30-an merupakan pemandu lori tipper dan lori tangki di lokasi kejadian bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, modus operandi sindiket dipercayai menggunakan lori tipper untuk membuat pengisian minyak diesel bersubsidi di stesen-stesen minyak berhampiran.
Tambahnya, minyak tersebut kemudiannya dibawa ke tapak pembinaan untuk disedut dan disimpan di dalam skid tank.
"Seterusnya, minyak diesel daripada skid tank berkenaan akan dipindahkan pula ke dalam lori tangki sebelum dijual kepada pihak industri atau pembeli lain," ujarnya.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut.
"Selain itu, kes juga disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001," ujarnya.
Tegasnya, KPDN Selangor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram ini.