PASIR PUTEH – Kenaikan kos makanan ternakan yang semakin membebankan menyebabkan penternak kecil berharap kerajaan memberi perhatian khusus kepada sektor itu menerusi Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.
Penternak, Kamarudin Che Hat, 64, berkata, harga makanan ternakan seperti pelet kini semakin mahal berikutan peningkatan kos operasi termasuk susulan kenaikan harga diesel.
Menurut dia, keadaan itu memberi tekanan kepada penternak yang terpaksa menanggung kos lebih tinggi untuk memastikan ternakan terus mendapat makanan mencukupi.
"Saya sebagai penternak rusa dan lembu berharap dalam belanjawan tahun ini kerajaan dapat pertimbangkan nasib penternak seperti kami.
"Sekarang kos makanan yang kita beli di kedai terlalu mahal. Memandangkan harga diesel naik, tauke kedai pun kata harga pelet makanan binatang turut naik," katanya.
Kamarudin memberitahu, peningkatan harga makanan ternakan itu menyebabkan sebahagian penternak kecil sepertinya semakin sukar untuk menampung kos operasi harian.
Katanya, kerajaan diharapkan dapat menyediakan bantuan atau insentif yang bersesuaian bagi meringankan beban penternak, khususnya dalam aspek kos makanan ternakan.
"Kita sebagai penternak sudah tidak mampu nak beli makanan seperti sebelum ini kerana harganya semakin mahal.
"Jadi kita harap dalam belanjawan baharu ini, kerajaan pertimbangkanlah nasib penternak-penternak macam kami," katanya.