Pertandingan tidur tawar hadiah lebih RM51,000

Iklan
Puluhan peserta menguji kemampuan melelapkan mata. Foto AFP

TOKYO – Ketika Jepun sering dikaitkan dengan masalah kurang tidur, puluhan peserta menyertai pertandingan unik yang menguji siapa mampu melelapkan mata paling cepat dan tidur paling nyenyak.

Pertandingan dikenali sebagai Matt Race itu dianjurkan syarikat tilam, Koala Sleep Japan di Tokyo pada Isnin dengan hadiah utama bernilai lebih dua juta yen (RM51,630).

Iklan
Iklan

Dalam acara berkenaan, peserta dilengkapi alat pengesan tidur sebelum berbaring di atas tilam untuk tidur sehingga maksimum 90 minit.

Pemenang ditentukan berdasarkan dua kriteria utama, iaitu seberapa cepat peserta berjaya tertidur dan sejauh mana mereka dapat mencapai tidur yang nyenyak.

Iklan

Suasana pertandingan turut direka bagi membantu peserta berehat dengan pencahayaan malap, manakala alat pemantauan dipasang pada kepala mereka bagi merekod corak tidur.

Sebahagian peserta turut membawa patung permainan ke atas tilam bagi membantu mereka lebih selesa ketika cuba melelapkan mata.

Iklan

Pengarah Kreatif Koala Sleep Japan, Riichiro Nakama berkata, acara itu dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mendapatkan tidur mencukupi.

“Dengan menjadikannya satu acara seperti ini, kami berharap orang ramai dapat tidur bersama-sama dan pada masa sama meningkatkan minat terhadap isu tidur,” katanya.

Seorang peserta menyertai pertandingan tidur yang dianjurkan sebuah jenama tilam di Tokyo. Foto AFP

Data Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) pada 2021 menunjukkan rakyat Jepun tidur secara purata hanya tujuh jam 24 minit sehari, paling rendah dalam kalangan negara anggota yang dibandingkan.

Pakar sebelum ini mengaitkan keadaan itu dengan tempoh bekerja yang panjang, perjalanan ulang-alik yang mengambil masa serta kehidupan malam yang aktif.

Seorang peserta, Chisato Honda, 32, berkata, tempoh pertandingan terasa terlalu singkat selepas dia berjaya melelapkan mata.

“Semuanya berakhir dalam sekelip mata. Saya rasa seperti mahu tidur lebih lama sedikit.

“Ia satu pertandingan yang menggembirakan,” katanya kepada AFP.

Peserta nyenyak tidur ketika dirakam lensa kamera. Foto AFP

Pemenang pertandingan yang hanya memperkenalkan dirinya dengan nama panggilan Suimii berkata, hadiah itu akan digunakan untuk membantu menampung kos berpindah kerana dia mahu tinggal sendiri.

“Saya juga mahukan katil seperti milik seorang puteri, jadi saya rasa saya akan membelinya,” katanya.

Acara itu sekali gus membawa pendekatan santai dalam mengetengahkan isu tidur di Jepun ketika ramai penduduk negara berkenaan berdepan tekanan kerja dan rutin harian yang padat. - AFP