SEREMBAN – Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memfailkan saman pemula terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Sembilan di Mahkamah Tinggi di sini bagi mencabar tindakan membatalkan pelantikan mereka sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Mereka ialah ADUN Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli; ADUN Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris; ADUN Palong, Datuk Mustapha Nagoor; ADUN Chennah, Siow Kong Choon; ADUN Labu, Siti Nur Umaira Hasim; ADUN Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin; ADUN Sungai Lui, Datuk Mohd Razi Mohd Ali; ADUN Gemencheh, Suhaimizan Bizar; ADUN Serting, Mohd Fairuz Mohd Isa dan ADUN Sikamat, Datuk Razali Abu Samah selaku plaintif.
Mereka memfailkan saman berkenaan pada Isnin menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.
Berdasarkan dokumen yang diperoleh, kesemua plaintif memohon mahkamah mengisytiharkan pembatalan berkenaan sebagai batal, tidak sah dan tidak berkuat kuasa.
Mereka mempersoalkan sama ada pelantikan sebagai Exco boleh dibatalkan melalui penarikan balik perkenan Yang di-Pertuan Besar secara bersendirian tanpa nasihat Menteri Besar.
“Kami memohon deklarasi bahawa pembatalan pelantikan yang diwartakan dalam Warta Kerajaan Negeri Sembilan NS PU 18 bertarikh 24 September lalu sebagai terbatal.
“Plaintif juga menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk, selain faedah serta kos,” kata dokumen itu.
Plaintif turut memohon supaya persoalan perlembagaan berhubung kuasa membatalkan pelantikan Exco diputuskan oleh mahkamah.
Menurut dokumen itu, persoalan yang dibangkitkan ialah sama ada seseorang Exco boleh dipecat hanya melalui penarikan balik perkenan Yang di-Pertuan Besar tanpa nasihat Menteri Besar berdasarkan tafsiran sebenar Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Mereka turut mempersoalkan sama ada peruntukan yang menyatakan seseorang Exco memegang jawatan selama diperkenankan Raja memberikan kuasa tidak terbatas kepada Yang di-Pertuan Besar untuk membatalkan pelantikan secara bersendirian.
Kes berkenaan dijadualkan untuk pendengaran secara dalam talian menerusi Zoom di hadapan Hakim, Roz Mawar Rozain pada 21 Oktober.
Sementara itu, peguam, Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili kesemua ADUN berkenaan mengesahkan perkara itu.
Beliau berkata, permohonan tersebut disokong dengan 10 afidavit daripada semua ahli Exco serta afidavit tambahan daripada Menteri Besar.
Pada 20 September lalu, pelantikan 10 Exco Negeri Sembilan dibatalkan berkuat kuasa serta-merta.
Pembatalan itu diperkenankan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berdasarkan Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Perkara itu dinyatakan dalam Warta Kerajaan Negeri Sembilan, NS PU 18, yang diterbitkan sebagai tambahan Perundangan, Jilid 79, No. 39.
Warta berkenaan menyatakan kesemua 10 Exco terbabit telah mengangkat dan menandatangani sumpah serta ikrar taat setia di hadapan Tuanku Muhriz pada 7 Ogos sebelum mengambil tempat sebagai Exco negeri.