SPR perluas OCR-VA ke semua saluran PRN Melaka

Iklan
Ramlan (tengah) pada sidang akhbar pengumuman tarikh penting PRN Melaka

MELAKA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperluaskan pelaksanaan projek rintis Sistem Pengecaman Aksara Optik Kehadiran Pengundi (OCR-VA) ke semua saluran di setiap pusat mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pelaksanaan itu melibatkan semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sistem OCR-VA digunakan untuk merekodkan dan menandakan kehadiran pengundi secara automatik menerusi pengimbasan maklumat pada dokumen pengenalan diri.

“Pelaksanaan ini dapat mempercepatkan proses semakan dan rekod kehadiran, selain mengurangkan kesilapan penandaan secara manual serta meningkatkan kecekapan petugas dan kelancaran proses pada hari mengundi,” katanya pada sidang akhbar pengumuman PRN Melaka di sebuah hotel di sini pada Rabu.

Iklan

SPR menetapkan 14 November depan sebagai hari mengundi bagi PRN Melaka Ke-16, manakala 31 Oktober sebagai hari penamaan calon dan 10 November sebagai hari pengundian awal.

PRN Melaka dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM28.45 juta.

Iklan

Beliau berkata, pelaksanaan projek rintis itu merupakan sebahagian daripada usaha SPR untuk mendigitalkan proses pilihan raya tanpa mengubah tatacara pengundian sedia ada.

“Pengundi hanya perlu hadir ke pusat mengundi seperti biasa, mengemukakan dokumen pengenalan diri kepada petugas untuk tujuan semakan dan seterusnya meneruskan proses pengundian mengikut prosedur sedia ada,” katanya.

Untuk rekod, sistem berkenaan mula dilaksanakan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai projek rintis di Sekolah Menengah Agama Dato' Klana Petra Maamor, membabitkan Saluran 1 hingga Saluran 7 bagi DUN Ampangan.

Dalam perkembangan berkaitan, SPR turut meneruskan penyiaran secara langsung proses pilihan raya menerusi penstriman langsung bagi pusat atau saluran mengundi terpilih di laman Facebook rasmi SPR, termasuk paparan keputusan tidak rasmi selepas tamat waktu mengundi.

Bagi menggalakkan pengundi menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian, SPR turut melaksanakan kempen ‘Jom Kita Undi’ menerusi pelbagai saluran media termasuk media elektronik, media sosial, hebahan melalui siar raya serta pemasangan kain rentang di lokasi strategik.

Sementara itu, maklumat lanjut dan borang permohonan berkaitan pemerhati pilihan raya boleh diperoleh menerusi Portal SPR mulai 7 Oktober 2026, manakala tarikh tutup permohonan ditetapkan pada 21 Oktober 2026.