KUANTAN – Seorang warga emas nyaris maut selepas rumah kediamannya di Felda Keratong 04, Bandar Tun Abdul Razak, Rompin, musnah dalam kejadian kebakaran pada petang Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.32 petang itu, mangsa berusia 69 tahun bagaimanapun sempat menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut sebelum menggerakkan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah ke lokasi.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal berukuran kira-kira 40 x 60 kaki dengan anggaran kemusnahan sebanyak 85 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran salur bantu mula daripada tangki jentera sebelum disambungkan kepada aliran hos sepanjang 200 kaki yang mendapat sumber air daripada pili bomba berhampiran.
Menurutnya, pasukan bomba turut menggunakan peralatan Foam Making Branch (FMB) bagi mengawal dan memadamkan kebakaran yang melibatkan timbunan tayar di dalam stor bersebelahan rumah berkenaan.
“Punca sebenar kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.