MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) berharap kerajaan menyediakan peruntukan RM15 juta menerusi Belanjawan 2027 bagi memperkukuh pembangunan sukan para negara, termasuk usaha mencungkil bakat baharu serta memperkasakan persatuan sukan para kebangsaan.
Presiden MPM, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata, dana itu penting bagi memastikan persatuan mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk melaksanakan program pembangunan atlet secara berterusan, khususnya di peringkat akar umbi.
Beliau berkata, MPM sebelum ini pernah mengemukakan permohonan bagi mendapatkan peruntukan berkenaan dan berharap kerajaan dapat mempertimbangkannya supaya pembangunan sukan para dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh.
"Kami berharap RM15 juta itu dapat disalurkan kepada semua persatuan kebangsaan melalui MPM untuk pembangunan sukan, mengenal pasti bakat dan membantu persatuan bergerak dari peringkat akar umbi.
"Kami juga memerlukan peruntukan untuk pengoperasian, penyelenggaraan pejabat serta membantu persatuan yang tidak mempunyai pejabat sendiri," katanya selepas majlis penyerahan beg cenderamata kepada atlet Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 di Pusat Kecemerlangan Paralimpik, Kampung Pandan, Kuala Lumpur.
Megat berkata, sokongan kewangan itu bukan sahaja penting bagi memastikan kelangsungan operasi persatuan, malah membolehkan lebih ramai atlet berpotensi dikenal pasti dan dibangunkan untuk mewakili negara di pentas antarabangsa.
"Kami percaya kami sudah matang dari segi akauntabiliti dan tanggungjawab, dan insya-Allah akan terus berusaha membanggakan negara. Itulah komitmen kami kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya.
Beliau turut berharap kerajaan memberikan perhatian lebih besar kepada sukan para dengan mengambil kira sumbangan atlet negara yang sentiasa berusaha memberikan prestasi terbaik di pentas antarabangsa.
Dalam pada itu, Megat mengumumkan MPM bersama rakan korporatnya Zero Healthcare akan memberikan insentif kepada atlet yang memenangi pingat pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026.
Menurutnya pemenang pingat emas akan menerima RM2,000, manakala pemenang perak dan gangsa masing-masing menerima baucar bernilai RM2,000 dan RM1,000. - Bernama