KUALA KRAI - Seorang penoreh getah dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menyebabkan kecederaan dan menakutkan seorang warga emas dengan melibas parang, Jumaat lepas.
Majistret Rais Imran Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Rezuan Muhamad @ Yusuf, 35, selepas lelaki itu mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan berkenaan.
Mohd Rezuan didakwa menakutkan secara jenayah terhadap Abdulhadee Chedah, 65, dengan cara melibas parang di sebuah pondok bersebelahan tapak pelupusan sampah Majlis Daerah Kuala Krai, Pahi, di sini, kira-kira 12 tengah hari, 2 Oktober
Pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu juga didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa yang sama mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Farazalila Fauzi yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan dengan alasan anak guamnya bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan kira-kira RM150 seminggu.
Timbalan Pendakwa Raya Mazlinda Mohd Nor bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama pada masa hadapan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bagi pertuduhan pertama dan enam bulan bagi pertuduhan kedua, dengan kedua-dua hukuman berjalan serentak mulai hari ini.
Mengikut fakta kes, kira-kira 12 tengah hari Jumaat lepas Mohd Rezuan bertanyakan mangsa mengenai anaknya namun tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan.
Dia kemudian mengacukan dan melibas sebilah parang beberapa kali sebelum menyepak mangsa pada bahagian bibir, menyebabkan kecederaan.- Bernama