Jawatan pekerja sosial sekolah tangani isu berkaitan murid

Iklan
Loh Ker Chean

KUALA LUMPUR – Jawatan pekerja sosial sekolah perlu diwujudkan secara berperingkat, khususnya di sekolah berkeperluan tinggi, bagi membantu menangani isu buli, keselamatan serta kesihatan mental murid.

Naib Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Loh Ker Chean berkata, isu berkenaan tidak lagi boleh dilihat semata-mata sebagai masalah disiplin sekolah susulan beberapa insiden tragis yang melibatkan murid sejak kebelakangan ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, guru dan pentadbir sekolah berada di barisan hadapan dalam menangani pelbagai cabaran di sekolah, namun mereka tidak seharusnya dibebankan dengan tanggungjawab menguruskan masalah sosial dan psikologi yang semakin kompleks.

"Masalah seperti buli, tekanan emosi, konflik keluarga, penderaan dan gangguan kesihatan mental memerlukan kepakaran khusus.

Iklan

"Apabila insiden terus berlaku, pendekatan sedia ada perlu dinilai semula. Kita tidak boleh sekadar bertindak selepas tragedi berlaku," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Ker Chean berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu membantu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi kepakaran dalam bidang perlindungan kanak-kanak, kerja sosial, dinamika keluarga dan intervensi kesihatan mental.

Iklan

Menurutnya, pekerja sosial sekolah boleh berperanan sebagai penghubung antara murid, keluarga, pihak sekolah, agensi kebajikan dan perkhidmatan kesihatan mental.

"Kehadiran pekerja sosial profesional di sekolah akan membantu membina sistem intervensi awal yang kukuh bagi memastikan kebajikan dan keselamatan murid sentiasa dilindungi oleh pakar bertauliah sebelum terlambat," katanya.

Beliau berkata, usaha guru dan warga sekolah perlu terus dihargai, namun sistem sokongan sedia ada juga perlu diperkukuh sekiranya masalah yang sama terus berulang.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan wajar memperkasakan mekanisme kerjasama antara KPM dan KPWKM bagi membangunkan kerangka intervensi sosial serta kesihatan mental murid yang lebih menyeluruh.

"Anak-anak kita bukan sekadar perlu dilindungi selepas sesuatu insiden berlaku, sebaliknya mereka memerlukan sistem sokongan yang mampu mengesan, mencegah dan menangani masalah sebelum ia bertukar menjadi tragedi.

"KPWKM perlu tampil membantu KPM demi memastikan sekolah benar-benar menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak kita," katanya.