IPOH - Kerajaan Perak sedang merangka garis panduan khusus bagi penyedia telekomunikasi untuk memperkukuh aspek keselamatan serta mencegah kegiatan vandalisme terhadap infrastruktur telekomunikasi di negeri ini.
Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, perincian garis panduan berkenaan akan dibincangkan menerusi Jawatankuasa Integriti dan Keselamatan Rangkaian Negeri Perak.
Menurutnya, perbincangan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut akan diadakan bagi memperhalusi garis panduan berkenaan.
"Kita akan tekankan dari segi keselamatan, di mana syarikat telekomunikasi kena lebih berperanan untuk memastikan setiap infrastruktur dan peralatan mereka dipelihara serta meningkatkan tahap keselamatan.
"Perbincangan dengan MCMC akan diadakan bagi memperhalusi lagi garis panduan berkenaan," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Pertukaran Dokumen Kerjasama Strategik Digital Perak bersama CyberSecurity Malaysia dan Novus Transact (Malaysia) Sdn Bhd di Stadium Indera Mulia di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Mohd Azlan berkata, usaha mengekang kegiatan vandalisme dan sabotaj terhadap infrastruktur telekomunikasi di negeri ini terus dipergiat menerusi Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Katanya, daripada 310 kes kecurian kabel dan vandalisme yang direkodkan sehingga Jun 2026, sebanyak 125 kes telah dituduh, manakala 67 kes telah dibuka kertas siasatan di bawah Seksyen 235 akta berkenaan.
Jelasnya, kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan sabotaj yang boleh menjejaskan keselamatan dan operasi infrastruktur telekomunikasi di negeri ini.