Lelaki didakwa berbogel, cederakan kanak-kanak dan warga emas

Iklan
Tertuduh (dua dari kanan) yang telah berkahwin mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan dibacakan ke atasnya.

MELAKA - Seorang tukang kasut berdepan empat pertuduhan di dua mahkamah di Ayer Keroh termasuk menyebabkan seorang warga emas cedera parah menggunakan botol kaca serta melakukan kelucahan melampau dengan berbogel di tempat awam.

Tertuduh Muhammad Firdaus Jamal, 37, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini pada Selasa.

Iklan
Iklan

Di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap lelaki berusia 63 tahun pada 29 September lalu, sekitar jam 7.30 malam di sebuah premis di Kampung Ayer Molek di sini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan botol kaca sebagai alat untuk memukul sehingga menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa.

Iklan

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan pada awalnya mencadangkan jaminan RM16,000 berserta syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan dan melaporkan diri di balai polis berhampiran.

Bagaimanapun pihak pendakwaan kemudian memohon supaya tertuduh dirujuk ke Hospital Permai untuk pemeriksaan kesihatan mental dan memohon tempoh sebulan bagi tujuan berkenaan.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dan menetapkan 5 November depan untuk sebutan bagi mendapatkan laporan kesihatan mental tertuduh, serahan dokumen dan lantikan peguam Sementara itu di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, tertuduh turut berdepan tiga lagi pertuduhan di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa pada 29 September lalu, sekitar jam 8 malam, cuba mencuri sebuah kenderaan Toyota Alphard berwarna putih di sebuah rumah di Jalan Molek 1, Taman Ayer Molek.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama. Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun lapan bulan di persimpangan Taman Ayer Molek Seksyen 1, kira-kira jam 8.20 malam pada tarikh sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, pertuduhan ketiga membabitkan dakwaan melakukan kelucahan melampau dengan berbogel di tempat awam sehingga melanggar kesopanan awam di lokasi dan waktu sama.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhammad Nadzir Abdol Rahman manakala peguam dari Yayasan Bantuan Guaman, SS Amritpal Singh mewakili tertuduh.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Permai untuk menjalani pemeriksaan mental dan menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes.