Belanjawan 2027: Keperluan e-Sukan, belia diharap diberi perhatian

Iklan
Muhammad Naim Al Amin (gambar kecil) berharap kerajaan melihat e-Sukan bukan semata-mata sebagai pertandingan atau hiburan, tetapi sebagai satu ekosistem ekonomi digital yang mempunyai rantaian kerjaya yang luas.

IPOH - Persekutuan E-Sukan Malaysia (MESF) mengharapkan Belanjawan 2027 dapat menyediakan peruntukan lebih tersusun untuk pembangunan sukan berkenaan yang kini menjadi sebahagian ekosistem ekonomi digital terutama dalam kalangan anak muda.

Presidennya, Muhammad Naim Al Amin Saharudin berkata, perkara itu penting sama ada di peringkat akar umbi seterusnya melahirkan atlet berprestasi tinggi selain memberi tumpuan ke arah pembangunan bakat serta latihan profesional.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, usaha ini akan turut membantu Malaysia menarik lebih banyak kejohanan dan acara e-Sukan bertaraf antarabangsa.

"Kita juga mahu melihat lebih banyak kerjasama antara kerajaan, industri, institusi pendidikan dan persatuan supaya e-Sukan dapat menjadi salah satu laluan kerjaya sebenar kepada anak muda Malaysia," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Sementara itu Muhammad Naim Al Amin yang juga Presiden Majlis Belia Negeri Perak turut mengharapkan Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan nanti membawa banyak berita gembira kepada anak muda.

Beliau berharap anak muda terus diberikan ruang yang lebih besar bukan sahaja dari sudut bantuan tetapi dari sudut peluang untuk mereka membina masa depan, meningkatkan pendapatan dan menjadi sebahagian daripada pertumbuhan ekonomi negara.

Iklan

"Bagi golongan belia, tiga perkara yang saya harapkan diberikan perhatian ialah kos sara hidup, peluang pekerjaan berkualiti dan pembangunan kemahiran.

"Kita mempunyai ramai anak muda yang berbakat dan berpotensi, tetapi mereka memerlukan akses kepada TVET, teknologi digital, keusahawanan serta pembiayaan yang lebih mudah untuk memulakan kerjaya dan perniagaan," katanya.

Dalam masa yang sama, Muhammad Naim Al Amin berharap program pembangunan belia di peringkat akar umbi turut diperkasakan.

Jelasnya, sokongan kepada persatuan belia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti perlu diteruskan kerana pembangunan anak muda bukan hanya berlaku di universiti atau tempat kerja tetapi juga melalui kepimpinan, kesukarelawanan, sukan dan aktiviti kemasyarakatan.

Beliau berkata, ukuran kejayaan sesebuah belanjawan untuk anak muda bukan sekadar berapa besar peruntukan yang diumumkan tetapi sejauh mana peruntukan tersebut sampai kepada anak muda.

Menurutnya, ia juga bergantung kepada sejauh mana belanjawan tersebut mampu membuka peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan serta melahirkan generasi yang lebih berkemahiran, berdaya saing dan bersedia menghadapi ekonomi masa hadapan.

Sebelum ini media melaporkan kerajaan menggariskan 10 bidang tumpuan utama Belanjawan 2027 yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober ini dengan kepentingan rakyat menjadi keutamaan dalam setiap dasar, ikhtiar dan peruntukan yang bakal dipertimbangkan.

Menurut Kenyataan Prabelanjawan 2027 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan pada 18 Ogos lalu, Belanjawan Madani kelima itu akan terus berpaksikan tiga tonggak Ekonomi Madani.