TUMPAT – Jemaah sebuah masjid di Kampung Berangan, di sini dikejutkan dengan perbuatan khianat apabila karpet ruang solat dicemari air selut berbau busuk dan bercampur serpihan tulang serta bulu pada pagi Isnin.
Kejadian itu disedari pihak Masjid Al-Aziz Al-Hadi, Kota SPP Warisan itu pada jam 6.30 pagi sebelum kontraktor pembersihan dipanggil untuk melakukan kerja-kerja pembersihan.
Kontraktor pencuci, Mohd Hanif Mohammad Noor berkata, dia terkejut selepas mendapati bahan yang dicemari pada karpet bukan sekadar selut biasa, sebaliknya terdapat bulu, serpihan tulang dan ulat serta mengeluarkan bau yang sangat kuat.
“Apabila sampai, saya tengok keadaan karpet memang teruk.
“Ada serpihan tulang, bulu dan ulat selain bau yang sangat kuat,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Menurut Mohd Hanif, proses sertu dilakukan menggunakan campuran air tanah, diikuti enam kali basuhan menggunakan air mutlak sebelum kerja mencuci keseluruhan karpet dijalankan.
Katanya, proses berkenaan dianggarkan menggunakan kira-kira 500 gram serbuk tanah, manakala keseluruhan kerja pembersihan dijangka mengambil masa sehingga tiga hari.
“Semalam kami jalankan kerja membuang kotoran itu dan proses sertu akan dilakukan hari ini.
“Selepas itu kami akan cuci pula keseluruhan karpet sebelum dikeringkan,” katanya.
Tambah Mohd Hanif, dia pernah membuat kerja-kerja sertu sebelum ini dan mempunyai sijil serta mengikuti kursus.
Menurut Mohd Hanif, dia juga mengambil keputusan tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pihak masjid bagi kerja sertu yang dilakukannya itu.
“Saya bantu setakat yang termampu kerana apabila tengok keadaan macam ini, saya rasa tak sampai hati untuk mengenakan bayaran.
“Ada juga yang menghantar mesej peribadi kepada saya dan mahu menderma untuk menampung kos mencuci, tetapi saya tidak ambil. Saya minta mereka salurkan terus sumbangan kepada pihak masjid,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 6.35 pagi.
“Pemeriksaan awal mendapati pintu kaca masjid dipecahkan dan terdapat cecair busuk pada karpet di ruang solat.
“Semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup turut mendapati seorang lelaki dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu dan kini dicari polis,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 427 KK.