MPS gesa akses SARA diperluas ke farmasi seluruh negara

Iklan
MPS menggesa kerajaan memperluaskan program SARA kepada farmasi komuniti yang berkelayakan di seluruh negara menerusi Belanjawan 2027. Foto: Bernama

PUTRAJAYA – Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) menggesa kerajaan memperluaskan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada farmasi komuniti yang berkelayakan di seluruh negara menerusi Belanjawan 2027.

Presidennya, Profesor Amrahi Buang berkata, langkah itu membolehkan penerima SARA menggunakan peruntukan berkenaan untuk membeli ubat-ubatan yang diluluskan, produk kesihatan serta barangan keperluan lain yang layak di farmasi berhampiran.

Iklan
Iklan

Menurutnya, cadangan itu mendapat sokongan kukuh berdasarkan tinjauan firma penyelidikan pasaran dan tinjauan pendapat antarabangsa, Ipsos terhadap 1,000 pengguna SARA apabila 92 peratus responden mahu farmasi komuniti yang berkelayakan dimasukkan dalam rangkaian bantuan kerajaan.

Amrahi berkata, ketika kerajaan terus menangani tekanan kos sara hidup dan memperkukuh bantuan bersasar kepada rakyat, akses kepada keperluan penjagaan kesihatan perlu menjadi sebahagian daripada sokongan kepada isi rumah.

Iklan

Menurutnya, farmasi komuniti merupakan antara lokasi perkhidmatan kesihatan yang mudah diakses masyarakat dan boleh melengkapkan saluran peruncitan SARA sedia ada dengan membawa ubat-ubatan serta produk kesihatan penting lebih dekat dengan tempat tinggal dan tempat kerja rakyat.

Dalam pada itu, tinjauan berkenaan mendapati 59 peratus responden tidak dapat menggunakan peruntukan SARA di premis pilihan mereka sepanjang tahun lalu.

Iklan

Antara sebab utama ialah premis pilihan mereka tidak menerima SARA, barangan yang ingin dibeli tidak termasuk dalam kategori yang layak atau sistem pembayaran SARA tidak berfungsi.

Menurut Amrahi, peluasan rangkaian SARA kepada farmasi komuniti yang berkelayakan boleh membantu merapatkan jurang akses berkenaan, selain membawa produk penjagaan kesihatan penting lebih dekat kepada penerima.

"Pengintegrasian farmasi kejiranan dalam ekosistem SARA juga akan memastikan akses kepada ubat-ubatan dan produk kesihatan disokong oleh pemantauan farmaseutikal yang sesuai dan profesional," katanya.

Tambahnya, ubat-ubatan dan produk kesihatan turut menjadi sebahagian daripada keperluan harian isi rumah rakyat Malaysia.

Jelas beliau, 47 peratus responden yang melaporkan sebahagian barangan keperluan harian tidak layak di bawah SARA mengenal pasti ubat-ubatan atau produk kesihatan antara barangan keperluan yang mereka beli.

"Setiap ringgit yang diperuntukkan melalui SARA bukan sahaja perlu meningkatkan kuasa beli isi rumah, malah memberikan peluang untuk meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan penting," katanya.