Tradisi mandikan kucing di tengah sawah untuk panggil hujan

Iklan
Kucing yang dikenali penduduk setempat sebagai condromowo itu dimandikan dengan air dawet dan air bunga sebagai sebahagian daripada ritual tersebut. Foto: Agensi

JOMBANG - Penduduk Jombang mempunyai cara tersendiri untuk memohon hujan selepas kemarau berpanjangan.

Terik matahari tidak menghalang sekumpulan penduduk berkumpul di tengah sawah di Dusun Banjarsari, Desa Bareng, Kecamatan Bareng, Kabupaten Jombang, Jawa Timur di Indonesia pada Ahad.

Iklan
Iklan

Namun, bukan aktiviti bercucuk tanam yang menjadi tumpuan mereka pagi itu, sebaliknya, seekor kucing belang menjadi perhatian dalam satu tradisi yang diwarisi sejak turun-temurun.

Kucing yang dikenali penduduk setempat sebagai condromowo itu dimandikan dengan air dawet dan air bunga sebagai sebahagian daripada ritual tersebut.

Iklan

Bagi penduduk Dusun Banjarsari, ritual itu bukan sekadar acara budaya atau tontonan, ia menggambarkan keresahan petani kerana masih belum dapat memulakan proses penanaman padi.

Sawah masih kering manakala saluran pengairan belum mampu membekalkan air yang mencukupi.

Iklan

Di sebalik tradisi itu tersimpan satu harapan agar hujan segera turun dan petani dapat kembali mengusahakan sawah mereka.

Samiaji Mijek, penggiat seni merangkap tokoh masyarakat Dusun Banjarsari berkata, tradisi tersebut merupakan warisan nenek moyang yang masih dipelihara penduduk sehingga kini.

Menurutnya, ritual itu tidak dilakukan setiap kali musim kemarau tiba.

Sebaliknya, penduduk hanya mengadakannya apabila musim kering berlarutan dan hujan masih tidak kunjung turun. - Agensi