YANGON – Pemerintah Myanmar memaklumkanhampir 10,000 rakyatnya telah dihantar pulang dari Malaysia sepanjang tahun ini, sehari selepas 1,476 migran tiba dengan kapal di Thanlyin, selatan Yangon.
Akhbar kerajaan, The Global New Light of Myanmar melaporkan, seramai 8,041 orang dihantar pulang melalui penerbangan antara Januari hingga Ogos.
Jika digabungkan dengan 1,476 individu yang tiba melalui laut pada Ahad, jumlah keseluruhan yang kembali tahun ini mencecah 9,517 orang.
Kumpulan yang tiba pada Ahad merupakan sebahagian daripada 5,000 migran yang menurut Kuala Lumpur telah dipersetujui Myanmar untuk diterima semula.
Bagaimanapun, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengkritik skim penghantaran pulang itu kerana mendakwa keselamatan mereka yang kembali ke Myanmar tidak dapat dijamin sepenuhnya ketika negara berkenaan masih dilanda perang saudara.
Kumpulan hak asasi turut membangkitkan kebimbangan bahawa etnik Rohingya mungkin termasuk dalam kalangan yang dihantar pulang, namun Malaysia belum mendedahkan pecahan etnik mereka.
Malaysia menegaskan, penghantaran pulang dilakukan secara sukarela dari pusat tahanan selepas individu terbabit selesai menjalani hukuman berkaitan kesalahan imigresen.
Agensi pelarian PBB bagaimanapun berkata, kakitangannya tidak dibenarkan mengesahkan sama ada keputusan mereka untuk pulang dibuat secara bebas dan berdasarkan maklumat mencukupi.
Menurut data PBB, Rohingya membentuk kira-kira dua pertiga daripada 190,000 pelarian dan pencari suaka Myanmar di Malaysia.
Selepas tiba di Thanlyin, sebahagian daripada 1,476 migran itu dibawa ke sebuah pusat penempatan di biara bagi menjalani pemeriksaan identiti dan kesihatan sebelum disatukan semula dengan keluarga. - AFP