SHAH ALAM - Definisi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia perlu dikaji semula dengan mempertimbangkan satu rangka kerja peralihan secara berperingkat daripada PKS kepada syarikat pertengahan.
Presiden Persatuan Akauntan Bertauliah Malaysia (ACA Malaysia), Profesor Dr Tan Yen Wooi berkata, definisi PKS Malaysia pada masa ini sebahagian besarnya adalah hasil daripada kajian semula yang dibuat pada tahun 2013 dan dilaksanakan pada tahun 2014.
Menurutnya, had jualan semasa adalah RM50 juta bagi sektor pembuatan dan RM20 juta bagi sektor perkhidmatan dan sektor lain.
"Kos perniagaan, gaji, perbelanjaan teknologi dan skala aktiviti komersial telah berubah dengan ketara sepanjang lebih sedekad yang lalu.
"Dasar Kerajaan seharusnya menggalakkan PKS berkembang dan bukannya mewujudkan keadaan di mana sesebuah syarikat yang berjaya berkembang tiba-tiba kehilangan akses kepada bantuan hanya kerana melepasi sesuatu had tertentu," katanya dalam kenyataan.
Gesaan tersebut antara saranan yang dikemukakan ACA Malaysia menjelang perbentangan Belanjawan 2027.
Yen Wooi berkata, Belanjawan 2027 bukan sahaja perlu memberi perhatian kepada cara meningkatkan hasil Kerajaan dan memperkukuh kedudukan fiskal negara, tetapi juga kaedah syarikat Malaysia boleh mengekalkan sumber yang mencukupi untuk melabur semula, meningkatkan produktiviti, mewujudkan pekerjaan bergaji lebih tinggi dan berkembang ke pasaran antarabangsa.
Tegasnya, pendekatan tersebut penting memandangkan PKS kekal sebagai tonggak ekonomi negara dengan menyumbang 39.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025 dan menyediakan 48.7 peratus daripada keseluruhan guna tenaga, melibatkan kira-kira 8.09 juta pekerja.
Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah pelaksanaan audit cukai berasaskan risiko dan materialiti bagi mengurangkan beban pematuhan kepada syarikat yang mempunyai rekod pematuhan baik.
"Bagi PKS yang mempunyai rekod pematuhan yang baik dan profil risiko yang rendah, penggunaan semakan yang lebih ringkas serta pendekatan bantuan pematuhan wajar dipertimbangkan.
"Pada masa sama, lebih banyak sumber audit khusus boleh ditumpukan kepada transaksi berisiko tinggi, bernilai besar dan kompleks, termasuk transaksi rentas sempadan, transaksi pihak berkaitan serta isu harga pindahan,” katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan mewujudkan medan persaingan yang lebih seimbang untuk syarikat tempatan, khususnya dalam memastikan manfaat pelaburan asing turut dirasai pemain tempatan.
Katanya, kejayaan pelaburan langsung asing tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan jumlah pelaburan yang masuk ke Malaysia, tetapi juga berdasarkan berapa banyak syarikat Malaysia yang dapat berkembang hasil daripada pelaburan tersebut.
"Akses PKS kepada insentif dan geran bagi automasi, kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, pelaksanaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), latihan pekerja, pembangunan eksport serta pensijilan antarabangsa juga perlu diperluaskan dan dipermudahkan.
"Sekiranya syarikat digalakkan untuk melakukan pendigitalan, menggunakan AI, meningkatkan gaji pekerja dan bersaing di peringkat antarabangsa, PKS juga perlu diberikan alat dan sumber yang praktikal untuk melaksanakan transformasi tersebut," katanya.
Dalam masa sama, kerajaan juga disaran menjadikan 2027 sebagai tahun kestabilan dan pemudahan cukai susulan pelbagai perubahan besar yang dilalui perniagaan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk e-Invois, perubahan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta rasionalisasi subsidi.
Justeru, Yen Wooi berkata, kajian terhadap sistem SST wajar diteruskan, khususnya berhubung kemungkinan kesan cukai bertindih dalam transaksi antara perniagaan serta kerumitan pentadbiran berkaitan.
Selain itu, beliau berkata, kenaikan gaji perlu disokong dengan peningkatan produktiviti melalui galakan terhadap pelaburan dalam automasi, AI, kelayakan profesional, peningkatan kemahiran dan pembangunan pekerja.
"Bagi PKS yang mempunyai sumber kewangan lebih terhad, sebarang perubahan besar berkaitan kos gaji juga wajar disertai tempoh peralihan munasabah serta bantuan peningkatan produktiviti," katanya.
Tambah beliau lagi, sokongan kepada syarikat Malaysia untuk menembusi pasaran luar negara perlu diperkukuh, termasuk melalui bantuan pameran antarabangsa, pembangunan pasaran, penjenamaan, pensijilan antarabangsa, e-dagang, latihan luar negara serta pembangunan rangkaian pengedaran antarabangsa.
Katanya, usaha meningkatkan kutipan cukai juga perlu berjalan seiring dengan kecekapan perbelanjaan awam, termasuk pengurangan pembaziran dan ketirisan serta peningkatan ketelusan perbelanjaan kerajaan.
"Dasar percukaian yang terbaik bukan sekadar mengutip lebih banyak cukai daripada kumpulan pembayar cukai yang sama. Malaysia perlu membesarkan kek ekonomi negara.
"Jika PKS kita dapat berkembang, syarikat memperoleh keuntungan yang mampan, pekerja menikmati pendapatan lebih tinggi dan lebih banyak syarikat Malaysia berjaya berkembang ke peringkat antarabangsa, asas cukai negara akan berkembang secara semula jadi dan hasil kerajaan juga dapat meningkat seiring dengan pertumbuhan ekonomi," katanya.