ALOR SETAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menjalankan pemeriksaan terhadap 11 stesen minyak di beberapa daerah di negeri ini susulan dakwaan bahan api petrol disyaki bercampur dengan air yang tular di media sosial.
Pemeriksaan yang dijalankan pada Isnin itu melibatkan empat stesen minyak di Alor Setar, dua di Kubang Pasu, dua di Sungai Petani dan tiga di Kulim yang membabitkan bahan api petrol RON95.
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, pemeriksaan itu dilakukan susulan aduan dan hantaran di media sosial yang mendakwa petrol bercampur dengan air sehingga menyebabkan kerosakan kepada kenderaan.
Dalam pemeriksaan berkenaan, pasukan penguat kuasa KPDN turut memeriksa tangki simpanan bahan api yang terlibat selain menjalankan pengukuran paras bahan api secara manual menggunakan 'dipstick' atau 'dip rod'.
Menurutnya, bacaan berkenaan kemudiannya disemak dan dibandingkan dengan bacaan sistem Automatic Tank Gauge (ATG).
"Sampel bahan api petrol daripada tangki atau pam yang terlibat turut diambil untuk pemeriksaan dan analisis lanjut oleh Jabatan Kimia Malaysia," katanya pada Isnin.
Jelas Muhammad Nizam, hasil pemeriksaan awal menerusi kaedah manual dipping dan semakan bacaan ATG mendapati tiada petunjuk kehadiran air dalam tangki simpanan bahan api yang diperiksa.
Bagaimanapun, KPDN menegaskan dapatan itu adalah hasil pemeriksaan awal dan tidak boleh dianggap sebagai keputusan muktamad berhubung dakwaan bahan api bercampur dengan air.
"Pada peringkat ini, KPDN tidak membuat sebarang kesimpulan bahawa bahan api berkenaan telah bercampur dengan air sehingga keputusan analisis sampel diperoleh dan siasatan lanjut selesai dijalankan,” ujarnya.
Pada masa sama, pengusaha stesen minyak turut mengambil tindakan menghantar sampel bahan api berkaitan ke makmal syarikat minyak masing-masing untuk analisis lanjut.
Menurut Muhammad Nizam, pihaknya akan meneliti keputusan analisis serta keseluruhan hasil siasatan sebelum menentukan tindakan selanjutnya.
"Sekiranya hasil siasatan mendapati terdapat pelanggaran terhadap mana-mana peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan KPDN, tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang berkaitan.
"KPDN menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang kesimpulan awal berdasarkan maklumat yang tular di media sosial," katanya lagi.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan juga diminta menyalurkan aduan secara rasmi kepada KPDN menerusi WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, talian 1-800-886-800 atau aplikasi telefon pintar EzADU KPDN.