SEREMBAN - Ketiadaan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Negeri Sembilan boleh menjejaskan kelancaran pentadbiran negeri selain berisiko menyebabkan pembentangan Belanjawan 2027 tergendala.
Pengerusi DAP Negeri Sembilan, J Arul Kumar berkata, perkara itu tidak boleh dipandang ringan dan memerlukan penyelesaian segera.
"Sampai bila nak biarkan macam ini? Saya rasa sudah tiga minggu mesyuarat Exco tidak diadakan, sedangkan dalam mesyuarat itulah pelbagai perkara dibincangkan dan diputuskan.
"Tanpa Exco, banyak keputusan kerajaan negeri tidak dapat dilaksanakan dan ini pastinya memberi kesan besar sekiranya terus dibiarkan dalam tempoh lebih lama," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Sebelum ini, media melaporkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan 10 Exco berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua Exco terbabit telah memungkiri sumpah jawatan mereka.
Bagaimanapun Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim menegaskan bahawa pembatalan tersebut tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan.
Arul Kumar berkata, situasi yang berlaku sekarang menimbulkan kebimbangan terhadap proses penyediaan dan pembentangan belanjawan negeri yang perlu dilakukan sebelum hujung tahun.
Menurutnya, sesuatu belanjawan perlu melalui kelulusan di peringkat mesyuarat MMK terlebih dahulu sebelum dibentangkan.
"Bagaimana bajet hendak diluluskan dan dibawa ke DUN jika tiada mesyuarat Exco.
"Setiap Exco juga sudah tentu ada keperluan yang perlu dibentangkan untuk bajet tahun hadapan. Tapi tanpa Exco, siapa yang nak bentangkan? Siapa yang nak cadangkan?' katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai itu berkata, meskipun Menteri Besar masih menjalankan tugas seperti biasa, tidak semua keputusan kerajaan negeri boleh dibuat secara bersendirian kerana sebahagiannya perlu diputuskan menerusi mesyuarat MMK.
Katanya, perkara itu khususnya membabitkan hal berkaitan kewangan, dasar dan polisi negeri.
"Kerajaan ada 25 ADUN. Lantiklah sesiapa pun mengikut titah Yang di-Pertuan Besar, asalkan pentadbiran negeri dapat terus berfungsi dan berjalan lancar," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mempersoalkan sama ada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan pada 16 Oktober ini diteruskan atau ditangguhkan susulan krisis yang sedang berlaku.
Arul Kumar berkata, beliau telah pun mengemukakan soalan lisan dan bertulis kepada pihak DUN.
"Kita harap persidangan DUN minggu depan ini tidak ditangguhkan kerana banyak perkara perlu dibentangkan dan dibahaskan. Cuma timbul persoalan, siapa yang akan menjawab soalan berkaitan sesuatu portfolio sekiranya Exco tiada?" katanya.
Sementara itu, ADUN Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon turut meluahkan kebimbangan situasi kerajaan negeri sekarang yang disifatkan sebagai serius.
Beliau berkata, Menteri Besar perlu melakukan sesuatu sekurang-kurangnya melantik empat Exco lain bagi mencukupkan kuorum ahli MMK.
"Setiap minggu dalam mesyuarat Exco kami akan meluluskan banyak permohonan terutama kebenaran pindah milik, penyatuan status pajakan kepada pegangan bebas dan paling penting ialah bayaran premium tanah.
"Tapi sekarang tiada apa-apa keputusan dapat dibuat kerana tiada mesyuarat Exco. Jadi ia secara tidak langsung akan menjejaskan hasil negeri," katanya.
Beliau turut menjangkakan persidangan DUN akan datang ditangguhkan disebabkan situasi yang sedang berlaku.
"Jadi, buatlah sesuatu dan jangan tunggu lama kerana keadaan ini akan memberikan kesan negatif kepada kerajaan negeri dan Negeri Sembilan," katanya.