Bos F1 luah rasa kagum

Iklan
Domenicali - FOTO: Agensi

KEJAYAAN merealisasikan penganjuran Grand Prix (GP) Bahrain di Malaysia dalam tempoh hanya dua bulan disifatkan sebagai pencapaian luar biasa oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1 (F1), Stefano Domenicali.

Beliau berkata, kejayaan membawa perlumbaan berkenaan ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) didorong kerjasama erat antara Litar Antarabangsa Bahrain (BIC) dan SIC dalam memastikan acara itu menampilkan pengalaman sebenar GP Bahrain.

Iklan
Iklan

Domenicali berkata, komitmen Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman Hamad Al Khalifa turut memainkan peranan penting dalam merealisasikan penganjuran berkenaan dalam tempoh yang singkat.

“Kami merasai pengalaman GP Bahrain yang luar biasa di Malaysia dan saya menghargai semangat serta komitmen tidak berbelah bahagi Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain Putera Salman Hamad Al Khalifa terhadap perlumbaan ini dan F1.

Iklan

“Visi, kesungguhan dan pemikiran tangkas baginda membolehkan kita menikmati gambaran sebenar acara Bahrain pada hujung minggu ini dan ia disempurnakan hanya dalam tempoh singkat, iaitu dua bulan,” katanya.

Beliau berkata, pasukan Bahrain dan SIC berganding bahu menyahut cabaran berkenaan sehingga berjaya merealisasikan acara itu mengikut perancangan.

Iklan

Dalam pada itu, Domenicali menyifatkan sambutan peminat terhadap kepulangan F1 ke Malaysia dan SIC selepas hampir sedekad sebagai sesuatu yang amat bermakna, terutama ketika sukan permotoran itu terus melalui perkembangan dan transformasi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada peminat yang memeriahkan suasana sepanjang hujung minggu perlumbaan, sekali gus membuktikan sokongan mereka kekal penting kepada sukan itu.

“Saya mesti berterima kasih kepada peminat, semangat dan minat mereka terhadap sukan ini sangat jelas. Tanpa mereka, sukan kami tidak bermakna.

“Komitmen mereka ketika kami beralih untuk menganjurkan perlumbaan di sini amat luar biasa. Kami berharap mereka pulang dengan kenangan seumur hidup mengenai detik yang benar-benar unik dalam sejarah F1,” katanya.