Pentas separuh akhir Piala Jubli Perak Sultan Selangor janji aksi sengit

Iklan
Juara bertahan, SMK Meru Klang membuat perhitungan menentang SMK Bandar Baru Bangi dalam aksi separuh akhir

PENTAS separuh akhir Kejohanan Piala Jubli Perak Sultan Selangor pada Khamis bakal menyajikan pertembungan sengit apabila dua pasukan pilihan dijadual berdepan dua pendatang baharu yang melakar sejarah mara ke kelompok empat terbaik buat julung kalinya.

Aksi tumpuan itu menyaksikan juara bertahan, SMK Meru Klang membuat perhitungan menentang SMK Bandar Baru Bangi manakala satu lagi pasukan pilihan, SMK Tinggi Kajang berdepan cabaran SMK Bandar Baru Batang Kali.

Iklan
Iklan

Bagi dua pasukan pilihan iaitu SMK Meru Klang dan SMK Tinggi Kajang, reputasi hebat mereka dalam siri kejohanan sekolah-sekolah Selangor meletakkan kedua-duanya sebagai calon utama kejuaraan berdasarkan prestasi dominan sejak peringkat kumpulan.

Pengarah Teknikal Kejohanan Piala Jubli Perak Sultan Selangor, Jailani Abdul berkata, SMK Tinggi Kajang tampil sebagai antara pasukan paling digeruni selepas muncul juara Kumpulan J dengan rekod sempurna 100 peratus.

Iklan

Menurutnya, skuad berkenaan mengumpul sembilan mata maksimum selain mempertahankan rekod tanpa bolos sepanjang saingan peringkat kumpulan.

SMK Bandar Baru Bangi

Iklan

"Kekuatan jentera serangan mereka dikemudi peledak sensasi kejohanan, Mohd Fayyad Zaqquan Mohd Fakrie yang kini menerajui carta penjaring terbanyak dengan rekod luar biasa 10 gol.

"Keupayaan fizikal serta ketajaman taktikal menjadikan mereka pasukan yang amat digeruni," katanya.

Mengulas mengenai SMK Meru Klang pula, Jailani menyifatkan juara bertahan itu terus membuktikan kredibiliti sebagai kuasa besar apabila menjuarai Kumpulan A dengan sembilan mata.

Jelasnya, disiplin tinggi serta pendekatan taktikal ampuh oleh barisan kejurulatihan menyaksikan pasukan itu sukar dibolosi, di samping ketajaman jentera hadapan yang turut disokong sentuhan gol Aqil Erfan Norezmy Aizul dengan empat jaringan setakat ini.

Kebangkitan dua pendatang baharu

Bagaimanapun, laluan dua pasukan pilihan itu dijangka tidak semudah di atas kertas apabila bakal diuji semangat juang luar biasa dua pasukan kejutan, SMK Bandar Baru Bangi dan SMK Bandar Baru Batang Kali yang masing-masing menempah tiket separuh akhir buat kali pertama dalam sejarah siri kejohanan sekolah Selangor.

Pasukan SMK Tinggi Kajang antara pasukan pilihan mara ke final.

Jailani berkata, SMK Bandar Baru Bangi mempamerkan peningkatan prestasi yang sangat drastik selepas menamatkan saingan Kumpulan K di tempat kedua dengan tujuh mata.

"Kejayaan mara ke separuh akhir ini melakar sejarah peribadi buat pasukan berkenaan.

"Disiplin pertahanan yang kemas serta semangat juang tinggi menjadi kunci utama mereka menumbangkan lawan-lawan handalan di peringkat kalah mati," ujarnya.

Sementara itu, beliau turut memuji ketahanan mental skuad SMK Bandar Baru Batang Kali yang berjaya mencipta sejarah tersendiri selepas muncul naib juara Kumpulan B dengan lima mata.

SMK Bandar Baru Batang Kali mencipta sejarah tersendiri selepas muncul naib juara Kumpulan B dengan lima mata.

Tambahnya, keupayaan pasukan itu bertahan di bawah tekanan hebat termasuk menyingkirkan lawan menerusi penentuan sepakan penalti di suku akhir membuktikan pemain-pemain muda berkenaan memiliki kekuatan mental di tahap kelas tersendiri.

"Semoga kedua-dua perlawanan separuh akhir ini berlangsung dalam semangat kesukanan yang tinggi serta terus mempamerkan kualiti bola sepak sekolah terbaik di Negeri Selangor," katanya.