MOSCOW – Seorang pekerja Institut Penyelidikan Antipes di Shelekhov, berhampiran Irkutsk, Siberia meninggal dunia selepas didiagnosis mengalami radang paru-paru yang puncanya belum dikenal pasti, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan jangkitan berbahaya.
Agensi kesihatan Rusia, Rospotrebnadzor berkata, keadaan sanitari dan epidemiologi di Irkutsk serta Shelekhov kekal stabil, sambil memaklumkan langkah khas telah dilaksanakan berkaitan kes berkenaan.
Ketua wilayah jiran Buryatia, Alexei Tsydenov sebelum ini berkata, mangsa yang juga seorang wanita berusia 28 tahun, meninggal dunia 'mungkin akibat pes', namun perkara itu belum disahkan.
Gabenor Irkutsk, Igor Kobzev turut meminta orang ramai bertenang selepas mesyuarat khas antiepidemik diadakan berhubung kes yang disyaki melibatkan jangkitan sangat berbahaya.
Semua individu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat kini berada di bawah pemantauan perubatan dan setakat ini tidak menunjukkan simptom, manakala keputusan ujian makmal mereka dilaporkan negatif.
Laporan tidak rasmi media tempatan pula menyebut hampir 200 orang ditempatkan di bawah pemantauan di sebuah hospital di Shelekhov.
Sekurang-kurangnya sebuah hospital bersalin turut dilaporkan mengenakan kuarantin sebagai langkah berjaga-jaga.
Bekas ketua Rospotrebnadzor, Gennady Onishchenko berkata, jangkitan itu berkemungkinan bukan pes, namun sekiranya disahkan sekalipun, beliau menjangkakan penyakit itu tidak akan merebak.
Amerika Syarikat turut memantau perkembangan berkenaan bersama Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).
Pes pneumonik disebabkan bakteria Yersinia pestis dan boleh merebak antara manusia melalui titisan pernafasan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan penyakit itu boleh membawa maut, tetapi boleh dirawat dengan antibiotik jika dikesan awal. - Agensi