Sukan baharu pamer potensi, MSN sedia teroka lebih banyak sumber pingat

Iklan
Jefri. Foto: Bernama.

PRESTASI memberangsangkan beberapa sukan baharu pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 membuka ruang buat Majlis Sukan Negara (MSN) memperluas sumber pingat negara dengan meneroka lebih banyak cabang yang berpotensi menjadi penyumbang pada temasya akan datang.

Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, pencapaian padel yang meraih pingat perak menerusi beregu lelaki, selain kejayaan e-sukan menghadiahkan emas pertama negara membuktikan terdapat cabang baharu yang mampu memberikan impak kepada kontinjen Malaysia.

Iklan
Iklan

"Kita memenangi pingat perak di Hangzhou 2022 dan menunjukkan sukan e-sukan boleh menjadi penyumbang pingat kepada kontinjen negara pada masa-masa akan datang," katanya ketika sidang media rumusan pencapaian kontinjen Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 pada Ahad.

Beliau berkata, perkembangan itu perlu dimanfaatkan dengan menilai dan memberi perhatian lebih kepada kelompok sukan berpotensi baharu seperti seni mempertahankan diri campuran (MMA), luncur ombak dan panjat dinding, selain terus memperkukuh sukan yang sudah terbukti sebagai penyumbang pingat.

Iklan

Jefri berkata, kejayaan padel amat mencuri perhatian apabila cabang itu yang baru diperkenalkan pada Sukan Asia berjaya membawa pulang perak menerusi gandingan Christian Didier Chin dan Aidan Yunus.

Tambah beliau, e-sukan turut membuktikan potensinya apabila Taj Izrin Aiman Taj Madira memenangi emas acara Gran Turismo 7 (GT7), sekali gus mencipta sejarah sebagai emas pertama Malaysia dalam e-sukan di Sukan Asia.

Iklan

Menurut Jefri, MSN tidak mahu peluang daripada sukan baharu itu terlepas begitu sahaja, sebaliknya bersedia berbincang dengan persatuan berkaitan bagi mengenal pasti bentuk sokongan yang diperlukan untuk membangunkan atlet serta meningkatkan daya saing mereka.

"Kita perlu lebih meneroka supaya kita tidak tertumpu pada satu dua jenis sukan sahaja dan bila sukan itu gagal kita akan terkontang-kanting. Strategi ini perlu kita perhalusi dan perluaskan," katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu juga selari dengan keperluan Malaysia untuk mempunyai lebih banyak sukan yang mampu menyumbang emas, agar prestasi kontinjen tidak terlalu bergantung kepada satu atau dua cabang sukan sahaja. - Bernama