SEREMBAN - Undang Yang Empat termasuk yang dipertikaikan dan Tunku Besar Tampin menyanggah kenyataan 17 muka surat yang didakwa dikeluarkan bagi pihak Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan berhubung krisis yang sedang berlaku.
Mereka mendakwa, kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha DKU itu tidak menunjukkan bahawa ia datang daripada Dewan yang sah, selain tidak mempunyai nama, tandatangan atau nombor rujukan.
"Perutusan itu hanya menyebut 'Setiausaha'.
Ada sebabnya nama itu tidak disebut kerana melalui warkah bertarikh 17 September 2026, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar telah memberhentikan Raja Norazli Raja Nordin di bawah Perkara 25 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan(UUTKNS).
Kenyataan tersebut turut mempersoalkan perutusan yang didakwa dikeluarkan atas arahan Dewan, namun tidak menyatakan tarikh sidang, individu yang hadir, kecukupan korum seperti diperuntukkan di bawah Perkara 20 serta minit mesyuarat seperti dinyatakan dalam Perkara 22.
"Mengikut perutusan yang dikeluarkan, jawatan Undang Jelebu dan Dato' Shahbandar 'kosong' dan Undang Johol dan Tunku Besar Tampin pula berada di pihak yang menentang.
"Yang tinggal hanyalah Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, anakanda Baginda dan dua Undang baharu yang mana kedudukan mereka sedang dipertikaikan," kata mereka.
Terdahulu DKU mengeluarkan kenyataan mengandungi 13 perkara antaranya kuasa DKU dalam persoalan adat, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, sidang DKU pada 17 April lalu, Perkara 10 UUTKNS 1959 berkaitan penyiasatan yang secukupnya dan sepenuhnya dalam hal penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan proklamasi turun takhta yang ditandatangani Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.
Mengulas lanjut menurut mereka, keempat-empat individu yang menandatangani dan menjadi saksi Sabda 19 April hanya 'didapati' tidak sah selepas mereka bertindak di bawah Perkara 10.
Selain itu, mereka mempertikaikan kenyataan Setiausaha DKU berhubung tarikh pemberhentian Undang Sungei Ujong dan Undang Jelebu serta dakwaan Undang Rembau tidak pernah dilantik secara sah.
"Bagi Undang Jelebu, perutusan mendakwa jawatan itu diberhentikan pada 31 Mei 2023, namun rekod DKU menunjukkan beliau hadir dalam sidang pada 4 Julai 2025.
"Jika sudah terhenti sejak Mei 2023, bermakna Dewan di bawah Tuanku Muhriz telah bersidang dengan seorang 'bukan Undang' selama tiga tahun," ujar mereka.
Mengenai Undang Sungei Ujong, mereka mendakwa perutusan menyatakan luak berkenaan memberhentikan Undangnya pada 13 Mei 2025 dan DKU hanya 'menerima', sedangkan notis bertarikh 15 April 2026 menyebut tujuan mesyuarat adalah mendengar laporan aduan terhadap Datuk Mubarak Dohak.
Bagi Undang Rembau pula, mereka berkata DKU telah menerima dan mengiktiraf pelantikannya berkuat kuasa pada 4 Julai 2025.
Mereka turut menegaskan bahawa kuasa melantik dan menurunkan Yang di-Pertuan Besar ialah Undang Yang Empat menurut Perjanjian Negeri Sembilan 1898 seperti mana yang dikanunkan dalam Perkara 11.
Malah jelas mereka, keputusan pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang dibuat oleh Undang Yang Empat pada 19 April 2026 di bawah Perkara 10 UUTKNS, tidak boleh dicabar di mahkamah.
"Kedua-duanya termasuk dalam jaminan Persekutuan di bawah Perkara 71(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan," kata mereka.
Kenyataan itu turut mendakwa bahawa sidang DKU bertarikh 32 Julai lalu adalah tidak sah kerana telah dipengerusikan oleh Tuanku Muhriz yang telah pun dipecat dan tidak cukup korum.
Jelas mereka, mengikut Perkara 20, Dewan dilarang menjalankan apa-apa urusan jika ahli yang hadir, selain pengerusi, kurang daripada separuh.
"Dewan mempunyai lapan ahli (Perkara 17), jadi sekurang-kurangnya empat ahli selain pengerusi mesti hadir. Tetapi Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Dato' Shahbandar tidak hadir.
"Perutusan itu tidak mendedahkan siapa yang hadir,"kata mereka lagi.
Menyentuh Perkara 10 UUTKNS 1959, mereka menegaskan, Tuanku Muhriz telah hadir dalam siasatan (enquiry) yang dijalankan pada 5 Mac lalu dan tiga pertanyaan telah diajukan kepada baginda secara berdepan.
"Baginda telah diberi peluang menjawab sendiri pertanyaan tersebut. Ini bermakna hak baginda untuk didengari telah pun dipenuhi.
"Enquiry ialah prerogatif Undang. Cara siasatan dijalankan ialah hak mutlak (prerogatif) Undang Yang Empat di bawah Perkara 29 dan 79 UUTKNS 1959,"jelas mereka.
Mereka turut memaklumkan bahawa, tiada peruntukan yang memberi DKU, setiausahanya atau pihak yang disiasat, kuasa untuk menetapkan caranya serta tiada
kuasa untuk menilai sama ada siasatan itu cukup, selepas keputusan dibuat.