'Saya tak mahu anak rasa apa saya rasa'

Iklan
Perkara pertama yang terlintas di fikiran Nur Zalfarini selepas disahkan menghidap kanser payudara tahap tiga pada 2021 adalah nasib tiga anaknya.

MELAKA - Kehilangan ibu tercinta akibat kanser darah ketika baru berusia lapan bulan meninggalkan kesan mendalam buat seorang pejuang kanser payudara sehingga sanggup merahsiakan penyakitnya daripada tiga anak selama hampir tujuh bulan.

Nur Zalfarini Mohd Izab, 43, berkata, perkara pertama yang terlintas di fikirannya selepas disahkan menghidap kanser payudara tahap tiga pada 2021 adalah nasib tiga anaknya yang ketika itu masih kecil.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dia tidak mahu anak-anak merasai kehilangan yang pernah dilaluinya, apatah lagi dia sendiri tidak pernah mengenali wajah dan kasih sayang ibunya.

"Saya fikir anak-anak. Saya terbayang macam mana kalau saya tak ada, siapa nak jaga dan tanggung mereka. Saya tak mahu anak-anak rasa apa yang saya rasa masa kecil dulu.

Iklan

Nur Zalfarini berkata, penyakitnya dikesan selepas mengalami demam berulang sebelum doktor di Klinik Kesihatan Bukit Rambai menyarankan menjalani pemeriksaan lanjut selepas menemui ketulan pada payudaranya ketika menjalani pemeriksaan 'Pap smear'.

Katanya, pemeriksaan lanjut termasuk mamogram, imbasan ultrabunyi dan pengambilan sampel tisu kemudian mengesahkan dia menghidap kanser payudara tahap tiga.

Iklan

Nur Zalfarini menunjukkan karipap sejuk beku dibuat sepenuh masa selepas berhenti sebagai tukang masak susulan masalah kesihatan dialaminya.

"Memang sangat sedih masa doktor beritahu saya. Saya menangis hampir setengah jam dan ketika itu saya fikir macam mana nak sara anak-anak kerana saya seorang ibu tunggal dan masih bekerja sebagai tukang masak.

"Saya berhenti kerja selepas didiagnosis kerana tidak lagi mampu bekerja, tetapi perlu mencari punca pendapatan. Sebab itu saya mula buat kuih semula," katanya.

Ibu kepada Muhammad Fahim Miqail Khairul Dahri, 17, Muhammad Amirul Hadi, 15, dan Muhammad Aneeq Harazz, 11, itu berkata, sepanjang menjalani kemoterapi, dia turut bertudung 24 jam di rumah bagi menyembunyikan kepalanya yang botak daripada anak-anak.

"Sampailah satu hari selepas solat Maghrib, saya panggil semua anak dan buka tudung untuk beritahu keadaan saya.

"Mereka terkejut dan sedih, tetapi selepas itu banyak membantu saya di rumah. Saya tetap pesan mereka pergi sekolah walaupun saya sakit kerana saya mahu mereka habiskan pelajaran," katanya.

Ujarnya, hampir lima tahun berdepan kanser mengajarnya bahawa setiap ujian disertai jalan keluar, malah rezekinya tidak pernah terputus menerusi bantuan kerajaan, badan kebajikan dan hasil jualan kuih.

Nur Zalfarini kini memberi tumpuan kepada jualan karipap, cucur badak, ubi ketuk dan rengas.

"Saya percaya ALLAH SWT beri ujian, tetapi Dia juga beri jalan yang kita tak sangka. Walaupun sakit dan tidak lagi mempunyai pekerjaan tetap, rezeki saya tidak pernah putus. Bukan kaya, tetapi cukup untuk anak-anak.

"Saya kini memberi tumpuan kepada jualan karipap, cucur badak, ubi ketuk dan rengas. Saya hasilkan kira-kira 500 karipap sehari dan berharap dapat seorang pembantu sekiranya keadaan kesihatan tidak mengizinkan," katanya.

Dia ditemui ketika menerima lawatan kebajikan daripada isteri penyandang kerusi DUN Klebang, Datin Su Chi, yang turut menyumbangkan RM300 bagi pembelian mesin pemotong kentang bernilai RM450.

Nur Zalfarini berkata, mesin itu mampu memotong kira-kira 10 kilogram kentang dalam tempoh lima minit berbanding dua hingga tiga jam secara manual, sekali gus memudahkannya meneruskan perniagaan dari rumah.