PROJEK pangsapuri perkhidmatan, Senja Residensi @ Bukit Jelutong akan dimulakan pada 1 Oktober dan dijangka siap dalam tempoh 36 bulan.
Terletak di Jalan Bazar U8/100, Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor, projek yang merangkumi 499 unit itu dibangunkan dengan unjuran nilai pembangunan kasar (GDV) RM290.96 juta.
Projek tersebut akan dibangunkan oleh Inta Bina Group Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Seiring Setia Sdn Bhd bagi mengembangkan perniagaan pembangunan hartanahnya selain operasi teras pembinaan.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, Inta Bina Group Berhad, kontrak pembinaan akan diberikan kepada sebuah lagi anak syarikat milik penuh, Inta Bina Sdn Bhd.
Syarikat menjangkakan projek tersebut menyumbang secara positif kepada keuntungan masa hadapan kumpulan sepanjang tempoh pembangunan dan apabila hartanah yang siap dibangunkan dijual, tertakluk kepada kemajuan pembangunan, keadaan pasaran dan pencapaian unjuran GDV.
Pengarah Urusan, Paul Lim berkata, projek pembangunan hartanah kedua Senja Residensi merupakan projek pembangunan hartanah kedua kumpulafi, selepas penyerahan milikan kosong bagi pembangunan pertamanya pada pertengahan Julai 2026.
Pembangunan tersebut merangkumi dua blok kediaman, dengan 247 unit pangsapuri perkhidmatan di Blok A dan 252 unit di Blok B, selain 16 unit kedai, tempat letak kenderaan serta kemudahan penduduk seperti kolam renang, gimnasium, dewan serbaguna dan kebun komuniti.
"Kami melihat pembangunan hartanah sebagai bidang pertumbuhan yang melengkapi perniagaan teras pembinaan kami.
"Projek ini menyokong strategi kami untuk mewujudkan nilai jangka panjang kepada pemegang saham melalui sumber pendapatan yang lebih seimbang daripada aktiviti pembinaan dan pembangunan hartanah," katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Inta Bina berkata, pihaknya tidak menjangkakan risiko ketara selain risiko operasi sepanjang tempoh pembinaan.
Pembangunan tersebut juga tidak memerlukan kelulusan pemegang saham dan tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak yang mempunyai kaitan dengan mereka memiliki kepentingan langsung atau tidak langsung dalam projek tersebut.
Untuk rekod, Kumpulan mempunyai pengalaman pembinaan melebihi 30 tahun dan telah menyiapkan lebih 155 projek bangunan dengan jumlah nilai kontrak melebihi RM5 bilion, kebanyakannya di Lembah Klang dan Johor.