SHAH ALAM – Projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) berdepan risiko diserah tanpa mencapai keupayaan penuh apabila kemajuan keseluruhan projek ketinggalan 7.55 peratus setakat 25 Jun lalu, dengan kelewatan antara 30 hingga 108 hari.
Jabatan Audit Negara (JAN) menerusi kenyataan mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2/2026 pada Isnin memaklumkan, kelewatan itu memberi risiko terhadap serahan fizikal (PHO) terawal LCS 1 yang dijadualkan pada 26 Ogos 2026 atau sasaran baharu pada 26 Disember tahun sama.
"Sekiranya PHO dilaksanakan pada kedua-dua tarikh tersebut, LCS 1 akan diserahkan tanpa mencapai keupayaan penuh kerana latihan serta sistem persenjataan masih belum disempurnakan.
"Kelewatan PHO LCS 1 turut memberi kesan kepada tempoh PHO LCS 2 hingga LCS 5," menurut kenyataan itu.
JAN memaklumkan pengauditan interim itu dilaksanakan bertujuan untuk menilai pengurusan Projek LCS dari aspek kemajuan fizikal dan kewangan, pengurusan kontrak serta pembayaran berdasarkan terma kontrak dan peraturan yang berkuat kuasa.
"Pengauditan juga mengambil kira syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) melalui Laporan PAC Parlimen bertarikh 9 Oktober 2023 supaya Jabatan Audit Negara melaksanakan pengauditan terhadap Projek LCS sebelum penyerahan LCS 1 kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta membentangkan hasil pengauditan tersebut di Parlimen," jelas kenyataan itu.
Bagi menastikan projek LCS dapar disiapkan dan diserahkan pada tahap kesiapsiagaan yang ditetapkan, JAN mengesyorkan Kementerian Pertahanan menetapkan pelan tindakan pemulihan yang realistik bagi memastikan semua aktiviti kritikal di bawah Kontrak Utama dan Kontrak Pelengkap diselaraskan dengan jadual PHO LCS.
"Selain itu, memastikan sebarang penerimaan kapal secara bersyarat dengan menetapkan obligasi, tempoh penyempurnaan dan tanggungjawab kontraktor yang jelas sehingga kapal mencapai keupayaan yang ditetapkan.
"Serta memperkukuh pemantauan kemajuan projek termasuk penetapan pegawai bertanggungjawab dan tempoh penyelesaian bagi setiap isu kritikal sehingga projek berjaya disempurnakan," menurut kenyataan itu.