PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin menitipkan kata-kata semangat dan mengucapkan selamat maju jaya kepada skuad Harimau Malaya yang akan turun menentang Vietnam dalam aksi penentuan tempat ketiga Piala ASEAN FIFA 2026, petang ini.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, Anwar mahu barisan pemain kebangsaan berjuang dengan penuh semangat dan memberikan aksi terbaik demi kebanggaan lencana di dada.
Iklan
Iklan
"Rakyat Malaysia bersama kalian. Semoga perlawanan ini tidak memerlukan bantuan masa tambahan yang terlalu panjang,” katanya.
Skuad negara dijadualkan berdepan Vietnam dalam aksi penentuan tempat ketiga di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, pada 5 petang ini (waktu Malaysia), manakala perlawanan akhir antara Indonesia dan Thailand bakal berlangsung di venue sama, jam 8 malam ini.
Dalam aksi terakhir Divisyen 1 Kumpulan A di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, Indonesia, Khamis lepas, Malaysia membenam Singapura 6-0 namun keputusan itu belum cukup untuk membawa skuad negara ke final berdasarkan jumlah jaringan.
Malaysia dan Indonesia terikat dengan tujuh mata serta mencatat perbezaan sembilan gol, namun kelebihan berpihak kepada skuad Garuda yang mengumpul 11 jaringan berbanding sembilan gol oleh skuad negara.
Indonesia mengesahkan tiket ke final selaku juara kumpulan selepas mengalahkan Bangladesh 9-2 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta dan akan berentap dengan Thailand selaku juara Kumpulan B bagi penentuan juara. - Bernama