Warga emas rugi lebih RM113,000 diperdaya ‘pegawai polis'

Iklan
Mangsa berusia 69 tahun dipercayai terpedaya dengan dakwaan kononnya terbabit dalam kes pengubahan wang haram. Foto hiasan

JERANTUT - Seorang lelaki warga emas kerugian RM113,550 selepas diperdaya sindiket penipuan telefon yang menyamar sebagai pegawai penyiasat polis.

Mangsa berusia 69 tahun dipercayai terpedaya dengan dakwaan kononnya terbabit dalam kes pengubahan wang haram.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Nor Azman Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu Sabtu lalu.

Menurutnya, mangsa menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali memperkenalkan diri sebagai pegawai penyiasat polis sebelum didakwa terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram.

Iklan

“Berdasarkan laporan mangsa, dia telah melakukan kira-kira 20 transaksi pengeluaran wang melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM) atas arahan suspek di dua cawangan bank di Jerantut dan Bandar Jengka dalam tempoh 11 September hingga 3 Oktober lalu dengan jumlah keseluruhan RM113,550," katanya.

Nor Azman berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas perkara berkenaan diketahui anaknya sebelum membuat laporan polis.

Iklan

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap panggilan telefon daripada individu tidak dikenali dan tidak mudah terpedaya dengan dakwaan atau ugutan yang diberikan.

“Orang ramai diingatkan bahawa pihak polis tidak akan meminta wang, nombor PIN, kata laluan atau maklumat perbankan melalui panggilan telefon.

“Sekiranya menerima panggilan mencurigakan, jangan panik, jangan lakukan sebarang transaksi dan segera dapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa atau balai polis berhampiran,” katanya.