Kewartawanan yang semakin hilang

Iklan
Kebebasan editorial perlu terus dihormati supaya media dapat memainkan peranannya sebagai salah satu mekanisme semak dan imbang dalam masyarakat. - Foto imej janaan AI

ORGANISASI media sememangnya memerlukan sokongan kewangan kerajaan, termasuk melalui peruntukan pengiklanan. Sokongan seperti ini penting bagi membantu media mengekalkan operasi.

Namun, sokongan kewangan tidak seharusnya dilihat sebagai ruang untuk mempengaruhi kandungan atau menentukan apa yang boleh dan tidak boleh dilaporkan.

Iklan
Iklan

Sebaliknya, pengiklanan kerajaan perlu diagihkan berdasarkan kriteria yang telus dan munasabah, supaya sokongan kepada media dapat diteruskan tanpa menjejaskan kebebasan editorial.

Cabaran sekarang bukan semata-mata bagaimana mahu menghasilkan berita lebih pantas atau menggunakan teknologi yang lebih canggih, tetapi bagaimana memastikan organisasi media masih mempunyai sumber yang mencukupi untuk membiayai operasi dan membayar tenaga kerja daripada wartawan, editor hinggalah jurugambar serta pasukan sokongan.

Iklan

Tekanan bertambah apabila pendapatan pengiklanan semakin terhakis, terutama apabila sebahagian besar bajet iklan beralih kepada platform digital gergasi seperti Facebook, Instagram dan TikTok.

Platform berkenaan menjadi pilihan syarikat besar mahupun peniaga kecil kerana kemampuan mencapai khalayak dengan cepat dan bersasar.

Iklan

Tekanan kewangan yang berpanjangan bukan lagi sekadar kebimbangan terhadap masa depan industri media.

Ia turut dirasai oleh organisasi media tempatan, termasuk media yang telah lama menjadi sebahagian daripada landskap kewartawanan negara, sehingga ada yang terpaksa mengecilkan operasi, mengurangkan tenaga kerja dan mencari pelbagai pendekatan baharu untuk memastikan penerbitan berita dapat terus bertahan.

Bagaimanapun, sebarang bantuan kewangan kerajaan perlu disertai garis perlindungan yang jelas supaya kebebasan editorial terus terpelihara.

Peruntukan pengiklanan kerajaan, misalnya wajar diagihkan berdasarkan kriteria yang telus seperti capaian, sasaran audiens dan nilai perkhidmatan awam, bukannya kecenderungan politik sesebuah organisasi media.

Pelaburan dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) perlu dilihat secara lebih menyeluruh. AI sepatutnya menjadi alat yang membantu wartawan, bukannya untuk menggantikan mereka.

Hari ini, AI mampu menghasilkan kandungan dalam beberapa saat, manakala teknologi deepfake pula semakin sukar dikenal pasti. Pada masa yang sama, maklumat palsu boleh tersebar jauh lebih pantas daripada usaha untuk membetulkannya.

Masyarakat hari ini bukan lagi sekadar mendapatkan lebih banyak maklumat tetapi memastikan maklumat yang diterima benar, sahih dan boleh dipercayai.

Kewartawanan perlu dilihat sebagai sebahagian daripada ekosistem maklumat negara. Sebab itu, sokongan kerajaan kepada media perlu dilihat sebagai usaha memperkukuh ekosistem tersebut, bukan sebagai ruang untuk menentukan apa yang patut atau tidak patut dilaporkan.

Justeru apa yang diperlukan ialah sokongan yang telus dan munasabah supaya organisasi media mampu terus menghasilkan berita secara profesional, beretika serta bertanggungjawab.

Kebebasan editorial perlu terus dihormati supaya media dapat memainkan peranannya sebagai salah satu mekanisme semak dan imbang dalam masyarakat.

Belanjawan 2027 bukan sekadar soal berapa banyak peruntukan yang disediakan untuk media, tetapi sejauh mana sokongan itu mampu memastikan kewartawanan berkualiti terus hidup dan berfungsi untuk masyarakat.

Teknologi boleh mempercepatkan kerja dan menghasilkan kandungan dalam sekelip mata, tetapi teknologi tidak boleh menggantikan pertimbangan manusia dalam menentukan apa yang benar, sahih dan penting untuk diketahui masyarakat.

Kita boleh memiliki bilik berita yang dipenuhi AI, skrin dan perisian canggih. Namun, jika wartawan semakin kekurangan masa, kekurangan kos operasi dan kekurangan ruang untuk menyemak fakta serta berada di lapangan, yang akhirnya terhakis bukan sekadar model perniagaan media tetapi keupayaan kewartawanan untuk mencari kebenaran.

Apabila kewartawanan itu semakin lemah, masyarakat juga kehilangan salah satu benteng penting untuk mendapatkan maklumat yang benar dan boleh dipercayai.

*Azmi Tarmizi ialah Editor Eksekutif di Sinar Harian. Anak jati Felda Soeharto KKB yang gemar ride di hujung minggu