KUALA LUMPUR - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyasarkan kutipan dana sekurang-kurangnya RM5 juta menerusi Kempen Gaza Winter Humanitarian Fund 2026-2027.
Dana itu bagi membantu penduduk Palestin mendepani krisis kemanusiaan serta musim sejuk mendadak.
Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kempen itu dilancarkan berikutan keadaan di Gaza yang dijangka semakin rumit.
Selain itu, menurutnya, musim sejuk bakal bertindih dengan bulan Ramadan pada Februari tahun depan.
Beliau berkata, bantuan yang bakal disalurkan merangkumi bekalan makanan, pakaian musim sejuk, ubat-ubatan, keperluan kanak-kanak, khemah dan air bersih.
"Kita menjemput dermawan daripada kalangan usahawan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta rakan artis untuk sama-sama mendukung kempen ini.
"Tempoh kempen dirancang sehingga April atau Mei depan. Penghantaran fasa pertama dijangka bermula hujung Oktober ini dengan jumlah awal RM200,000.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena Majlis Jemputan Makan Malam Amal dan Pelancaran Kempen Bantuan Kemanusiaan Musim Sejuk Gaza 2026 di sini pada Ahad malam.
Hadir sama, Pengerusi Alliance of World Mosque in Defence of Al Aqsa (Manar), Datuk Seri Ahmad Awang dan penerbit dan pelakon terkenal, Datuk Rosyam Nor.
Bagi memastikan bantuan disampaikan secara efisien dan tanpa sekatan, Mohd Azmi berkata, Mapim merangka beberapa kaedah agihan.
"Antaranya ialah menyalurkan dana tunai secara terus kepada rakan kerjasama berdaftar di Gaza yang mempunyai rekod serta disiplin pelaporan yang baik," katanya.
Selain itu, Mapim turut bekerjasama dengan NGO tempatan di Gaza serta berunding dengan agensi antarabangsa seperti Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), Bulan Sabit Merah dan Médecins Sans Frontières (MSF).
Sementara itu, Rosyam menawarkan diri sebagai jurucakap serta duta kempen berkenaan tanpa sebarang bayaran.
Rosyam turut mencadangkan gerakan kesedaran nasional bagi menggalakkan setiap rakyat Malaysia menyumbang serendah RM10 seorang.
"Saya cadangkan supaya kita lancarkan satu kempen, di mana satu rakyat Malaysia hanya derma RM10 sahaja.
"Gunakan saya, saya sedia jadi duta untuk Gaza Winter Humanitarian Fund tanpa sebarang bayaran," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Mengimbas kembali inisiatif terdahulu, Rosyam mengaitkan pendekatan itu dengan kempen sumbangan RM1 seorang pada era 1980-an dan 1990-an bagi penyiaran Piala Dunia yang berjaya mengumpul dana jutaan ringgit.
Sebagai sokongan premis perniagaan, Rosyam membenarkan bahan promosi kempen Mapim dipamerkan di kesemua 10 cawangan pasar raya ST Rosyam Mart.
Beliau turut menyerahkan sumbangan RM100,000 mewakili ST Rosyam Mart bagi memulakan tabung berkenaan.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan bantuan menerusi imbasan kod QR, pemindahan akaun rasmi Mapim, sumbangan tunai mahupun barangan.