Kamal Affandi kecewa cadangan tangani buli tidak dapat perhatian KPM

Iklan
Kamal Affandi

SHAH ALAM - Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim meluahkan kekecewaan apabila beberapa cadangan dan usaha untuk membantu menangani isu buli di sekolah yang pernah dikemukakannya kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Menteri Pendidikan tidak mendapat maklum balas.

Beliau berkata, usaha berkenaan termasuk bersemuka dengan Setiausaha Politik Menteri Pendidikan lebih setahun lalu selain menghubungi pihak KPM dan menghantar mesej secara langsung kepada Menteri Pendidikan berhubung isu berkaitan buli.

Iklan
Iklan

"Saya pernah bercakap depan-depan pada masa itu dengan SUPOL Menteri Pendidikan setahun lebih yang lalu berkenaan isu-isu di sekolah.

"Saya utarakan beberapa idea. Dia kata akan hubungi untuk bincang lebih lanjut. Cukup tiga bulan menunggu tiada khabar berita, saya tinggalkan pesanan kat office KPM beberapa kali. Tapi tiada balasan sampai sekarang," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebelum kes di Yong Peng, Johor yang baru sahaja berlaku beliau yang sudah lama menunggu maklum balas mengambil inisiatif menghantar mesej menerusi Facebook kepada Menteri Pendidikan.

Katanya, usaha berkenaan bukan kali pertama dilakukannya malah sebelum ini turut cuba mendapatkan perhatian pihak KPM berhubung beberapa cadangan berkaitan isu buli di sekolah.

Iklan

"Begitu juga bila timbul isu buli dalam tahun ini. Saya ada baca saranan Ketua Puteri di FB-nya untuk masyarakat sama-sama ganding bahu banteras buli. Jadi saya komen 'jom kita bekerjasama/buat sama-sama'. Setakat hari ini, berbulan dah tapi belum ada respon.

"Bersangka baik...barangkali 'admin' terlepas pandang, barangkali admin mereka tak kenal orang dalam gelanggang.

"Sekadar info, saya juga pernah berinteraksi secara langsung dengan Perdana-Perdana Menteri, beberapa Timbalan Perdana Menteri, menteri, Timbalan Menteri, Ketua Pengarah dan pengarah bagi lain-lain isu antaranya Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Ismail Sabri dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Pantas dan tuntas mereka bertindak. Cemerlang!," katanya.

Dalam pada itu beliau turut mendakwa, terdapat pemegang taruh lain yang langsung tak hirau atau sekadar pandai berjanji dan mungkin mereka mempunyai optik serta prioriti yang berbeza.

Selain itu dakwanya, ada beberapa inisiatif kerajaan dengan ''footprint' dan 'DNA' miliknya telah dijiplak.

"Tapi saya tak bising 'claim' sebab saya lakukan bukan kerana nama. Saya lakukan kerana saya seorang patriot, demi tanah air dan generasi mendatang.

"Jadi, adik Irene Sofiya, maafkan saya kerana saya telah berusaha sebaik mungkin menawarkan diri tetapi sama ada dek terlepas pandang, bertepuk sebelah tangan atau ibarat melukut di tepi gantang, hanya masa akan menentukan.

"Nukilan ini bukan untuk mencari siapa yang salah. Tulisan ini berkenaan apa yang lemah dan mahukan khilaf itu diperbaiki," katanya.