SHAH ALAM - Kemalangan elektrik membabitkan seorang orang awam di sebuah Link Box 33kV di Jalan Abas, Kapar, Klang pada Ahad berlaku pada pepasangan milik pihak ketiga, bukannya milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).
TNB dalam kenyataannya berkata, maklumat mengenai kejadian tersebut diterima pada kira-kira jam 10 pagi dan pasukan teknikal telah digerakkan ke lokasi.
Iklan
Iklan
"Kejadian dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti vandalisme.
"TNB akan memberikan sokongan dan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam siasatan lanjut," katanya ketika mengesahkan perkara berkenaan yang dikongsikan di Facebook TNB Careline pada Ahad.
Terdahulu, polis mengesahkan seorang lelaki ditemukan maut akibat terkena renjatan elektrik, disyaki ketika cuba mencuri kabel elektrik.
Menurut Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Ramsay Embol, mayat warganegara tempatan berusia lingkungan 40-an itu ditemukan orang awam sebelum anggota polis digerakkan ke lokasi kejadian.
Mengulas lanjut TNB turut meminta orang ramai supaya tidak mengusik, membuka atau menghampiri pepasangan elektrik kerana tindakan sedemikian boleh mengakibatkan kecederaan serius atau kehilangan nyawa.