LTdL 2026: Auge sedar selepas ditidurkan, tunjuk perkembangan positif

Iklan
Auge melakukan aksi 'wheelie' ketika mendaki laluan berselekoh pada perlumbaan LTdL 2026 peringkat kelima dari Tapah ke Genting Highlands. - FOTO: Bernama

PELUMBA Perancis, Ronan Auge telah sedar selepas ditidurkan secara perubatan (induced coma) dan menunjukkan perkembangan pemulihan yang memberangsangkan susulan kemalangan dialaminya Jumaat lepas, sekali gus melegakan pasukan Unibet Rose Rockets ketika perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 memasuki peringkat terakhir, hari ini.

Pengarah pasukan, Joram Grootveld mengesahkan bahawa pelumba berusia 22 tahun itu menunjukkan perkembangan yang baik dan telah bertemu dengan keluarganya yang datang dari Perancis untuk berada di sisinya.

Iklan
Iklan

"Ronan sudah sedar selepas ditidurkan dan tanda-tanda awal seperti yang kami maklumkan di internet, kelihatan sangat memberangsangkan.

"Sudah tentu, dia memerlukan tempoh pemulihan yang panjang, namun dia sudah berhubung dengan keluarga yang datang dari Perancis untuk melawatnya malam tadi dan mereka meluangkan masa bersama-sama.

Iklan

"Kami berharap keadaannya akan terus bertambah baik dalam beberapa hari dan minggu akan datang sehinggalah dia kembali seperti sediakala," katanya.

Grootveld turut merakamkan penghargaan kepada pasukan perubatan yang merawat pelumba itu sambil berkata, perkembangan berkala mengenai keadaannya memberikan kelegaan yang amat diperlukan kepada pasukan.

Iklan

Ketika ditanya sama ada Auge akan dibawa pulang ke Perancis dalam masa terdekat, Grootveld menjelaskan keadaan pelumba itu perlu benar-benar stabil terlebih dahulu.

"Saya belum tahu lagi tetapi disebabkan dia mengalami beberapa patah tulang yang agak serius dan perlu distabilkan akan mengambil masa sebelum dia boleh pulang. Saya sendiri sebenarnya tidak tahu bila," katanya.

Dalam perkembangan dikongsikan menerusi akaun media sosial rasmi pasukan itu semalam, pasukan berkenaan mengesahkan keadaan Auge adalah baik berdasarkan situasi yang dialaminya, malah dia sudah boleh menggerakkan kedua-dua tangan dan kakinya serta berkomunikasi.

Auge telah menjalani 'induced coma' bagi menstabilkan keadaannya selepas mengalami kecederaan serius dalam kemalangan yang berlaku ketika Peringkat Keenam dari Pandan Indah ke Rembau pada Jumaat lepas.

Pelumba itu dikejarkan ke hospital sejurus selepas kejadian, dengan doktor pasukan berada di sisinya sepanjang masa sambil memaklumkan perkembangan keadaannya kepada pasukan.

Walaupun berdepan detik yang mencemaskan, Grootveld memuji pengurusan perlumbaan selain berpuas hati dengan pencapaian pasukannya yang hampir setiap hari meraih kedudukan 10 terbaik, sambil berharap dapat kembali menyertai edisi akan datang, tertakluk kepada keputusan akhir pihak pengurusan.

Edisi ke-30 LTdL melabuhkan tirainya pada Ahad dengan peringkat kelapan dan terakhir sejauh 188.3 kilometer (km) dari Muar ke Putrajaya. - Bernama.