Hakim Danish bangkit raih empat mata di Jepun

Iklan
Hakim Danish yang memulakan saingan dari petak ke-21 memperbaiki kedudukan sebanyak sembilan anak tangga selepas mengharungi 17 pusingan. Foto: Facebook ZK Racing.

KECEKALAN Hakim Danish Ramli membuahkan hasil apabila pelumba Moto3 negara itu berjaya mengutip empat mata selepas menamatkan Grand Prix (GP) Jepun di tempat ke-12 di Litar Motegi sebentar tadi.

Memulakan perlumbaan dari petak ke-21, pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu memperbaiki kedudukannya sebanyak sembilan anak tangga selepas mengharungi 17 pusingan.

Iklan
Iklan

Hakim Danish mencatat masa 21.273 saat (s) di belakang David Almansa daripada Liqui Moly Dynavolt Intact GP yang muncul juara dengan catatan 32 minit 45.54s.

Maximo Quiles daripada CFMOTO Gaviota Aspar Team menduduki tempat kedua, hanya 0.046s di belakang Almansa, manakala Alvaro Carpe daripada Red Bull KTM Ajo ketiga.

Iklan

Keputusan itu hadir selepas pelumba negara berdepan hujung minggu yang sukar apabila terjatuh tiga kali ketika sesi latihan pada Jumaat dan Sabtu.

"Secara keseluruhan, perlumbaan begitu sukar bagi saya selepas tiga kali jatuh pada sesi Jumaat dan Sabtu. Saya cuba menamatkan perlumbaan dengan baik dan mendapatkan kedudukan terbaik, akhirnya tempat ke-12," katanya.

Iklan

Hakim Danish memberitahu, dia cuba mencari ruang untuk memotong pada awal perlumbaan sebelum berjaya mengawal keadaan dan meningkatkan kelajuan untuk mengejar kelompok hadapan.

Dia kini mengumpul 105 mata untuk berada di tangga ketujuh keseluruhan Kejuaraan Dunia Moto3, manakala perlumbaan seterusnya di Indonesia turut dinantikan.

"Saya amat menantikan perlumbaan seterusnya di Indonesia dan akan cuba pulih sepenuhnya daripada rasa sakit di bahu kerana ketika perlumbaan tadi saya berasa agak kurang selesa," katanya.

Sementara itu, Veda Pratama dari Honda Team Asia menamatkan perlumbaan di tempat ke-11 untuk mengutip lima mata.