Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintenden Jimmy Panyau meninggal dunia

Iklan
Jimmy anak Panyau meninggal dunia selepas menjalani rawatan susulan masalah kesihatan berkaitan hati dan saluran hempedu.

LAHAD DATU - Timbalan Ketua Polis Daerah (KPD) Lahad Datu, Superintenden Jimmy anak Panyau, 53, meninggal dunia selepas menjalani rawatan susulan masalah kesihatan berkaitan hati dan saluran hempedu.

Mendiang disahkan meninggal dunia di Kuching Life Care Society, Sarawak pada jam 9.30 malam tadi.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail ketika dihubungi sebentar tadi mengesahkan dan memberitahu, mendiang yang berketurunan Iban sebelum ini mendapatkan rawatan di Borneo Medical Centre, Kuching pada 14 Ogos 2026 selepas mengalami masalah kesihatan berkaitan hati.

Mendiang Jimmy kemudiannya dimasukkan ke wad untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut sebelum dibenarkan keluar pada 15 Ogos dan diberikan cuti sakit sehingga 23 Ogos.

Iklan

Sebelum itu, Jimmy turut menjalani pemeriksaan kesihatan termasuk pengimejan Magnetic Resonance Imaging (MRI) di Gleneagles Hospital, Kota Kinabalu susulan mengalami kurang selera makan dan sembelit.

Hasil pemeriksaan mendapati terdapat ketumbuhan membabitkan kawasan hati dan saluran hempedu.

Iklan

Pada 20 Ogos lalu, mendiang mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak sebelum dimasukkan ke Wad Pembedahan Lelaki bagi pemantauan dan rawatan selanjutnya.

“Semasa hayatnya, beliau seorang yang sangat berdedikasi dalam menjalankan tugas di Lahad Datu,” kata Asisten Komisioner Dzulbaharin.

Sebelum ini mendiang Jimmy juga pernah menjawat jawatan Deputi Superintenden dan bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Mukah. - Awani