Gempa megathrust ancam Sumatera, penduduk perlu siap siaga

Iklan
Sejarah menunjukkan ancaman gempa besar di kawasan itu tidak boleh dipandang ringan. - FOTO: Agensi

JAKARTA – Penduduk Indonesia digesa meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi ancaman gegaran bermagnitud tinggi termasuk gempa megathrust terutamanya di kawasan Sumatera yang mempunyai zon tektonik aktif.

Anggota Ikatan Ahli Kebencanaan Indonesia (IABI), Daryono berkata, masyarakat tidak seharusnya terus membuat spekulasi, sebaliknya perlu melakukan persediaan awal.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sains masih belum mampu menentukan tarikh, masa dan lokasi tepat berlakunya gempa besar.

“Ketidakpastian waktu kejadian bukan alasan untuk takut, sebaliknya menjadi sebab untuk kita bersedia,” katanya.

Iklan

Antara kawasan yang diberi perhatian ialah zon megathrust Mentawai-Siberut dan Mentawai-Pagai di Sumatera Barat mempunyai potensi menghasilkan gempa bermagnitud besar dianggarkan berkekuatan 8.9 skala Richter.

Kajian menggunakan data sistem satelit navigasi global (GNSS) dari 2018 hingga 2021 mendapati kawasan tengah Sumatera termasuk Kepulauan Mentawai terus mengalami perubahan bentuk kerak bumi akibat pergerakan dan tekanan antara kedua-dua plat tektonik.

Iklan

Kedua-dua zon di bahagian barat Sumatera itu merupakan antara kawasan berisiko tinggi. Di sebelah barat Sumatera, Plat India-Australia terus bergerak ke bawah Plat Sunda yang menjadi kawasan Pulau Sumatera.

"Pergerakan ini berlaku sangat perlahan, hanya beberapa sentimeter setahun. Namun, dalam tempoh puluhan hingga ratusan tahun, anjakan itu boleh menyebabkan tekanan terkumpul pada batuan dan menyimpan tenaga yang sangat besar.

"Proses inilah antara faktor yang mencetuskan gempa bumi kuat di sepanjang pantai barat Sumatera,” jelasnya.

Daryono memberitahu sejarah menunjukkan ancaman gempa di kawasan itu tidak boleh dipandang ringan.

Sumatera telah beberapa kali dilanda gempa kuat termasuk di Bengkulu pada 2007 dan Mentawai pada 2010. Pada 1833 pula, gegaran mencapai 8.8 skala Richter serta mencetuskan tsunami yang melanda kawasan pesisir.

“​​Kajian terdahulu menunjukkan tekanan yang terkumpul di beberapa bahagian zon subduksi kini telah mencapai atau melebihi tahap yang pernah dilepaskan ketika gempa besar pada 1797 dan 1833.

"Ia membuktikan gempa kuat di kawasan berkenaan bukan sekadar ramalan berdasarkan model tetapi, sebahagian daripada sejarah geologi pantai barat Sumatera,” katanya.

Selain ancaman gempa dari laut, Sumatera Barat turut berdepan risiko daripada sesar aktif di daratan.

Menurut Daryono, gempa yang berpunca daripada sesar daratan lazimnya tidak sebesar gempa megathrust, namun kedudukannya yang lebih cetek dan berdekatan kawasan berpenduduk boleh menyebabkan gegaran kuat serta kerosakan ketara. - Agensi