Arab Saudi lancar serangan udara besar-besaran ke atas Houthi

Iklan
Serangan yang dilancarkan pada Selasa itu menyasarkan 60 lokasi ketenteraan di ibu negara Sanaa serta wilayah Amran, Saada dan Hodeidah. - Agensi

SANAA – Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh, manakala puluhan lagi cedera selepas pakatan tentera diketuai Arab Saudi melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas kawasan yang dikuasai kumpulan Houthi di Yemen.

Serangan yang dilancarkan pada Selasa itu menyasarkan 60 lokasi ketenteraan di ibu negara Sanaa serta wilayah Amran, Saada dan Hodeidah.

Iklan
Iklan

Jurucakap pakatan tentera, Mejar Jeneral Turki al-Maliki berkata, operasi berkenaan bertujuan melemahkan keupayaan peluru berpandu dan dron kumpulan Houthi yang disokong Iran.

Menurutnya, sasaran serangan termasuk terowong penyimpanan peluru berpandu balistik di kawasan pergunungan serta bengkel pemasangan dan penyimpanan dron.

Iklan

Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Houthi, Anees al-Asbahi mendakwa serangan itu turut mengorbankan orang awam apabila sebuah kilang span di Hodeidah dibedil.

Serangan berkenaan mengorbankan sekurang-kurangnya 15 orang manakala 13 lagi cedera.

Iklan

Dalam serangan berasingan di daerah Kitaf, wilayah Saada, sekurang-kurangnya dua orang terbunuh, manakala empat lagi cedera.

Sementara itu, sembilan individu dilaporkan cedera selepas sebuah kilang kasut di Sanaa turut terkena serangan udara.

Angka korban dan kecederaan tersebut dilaporkan pihak berkuasa Houthi dan belum dapat disahkan secara bebas.

Dalam perkembangan berkaitan, Arab Saudi mendakwa berjaya memintas dan memusnahkan sebuah peluru berpandu kruis yang dilancarkan kumpulan Houthi ke arah ibu negara, Riyadh, pada awal Rabu.

Jurucakap pakatan tentera, al-Maliki berkata, tindakan pemintasan itu dilakukan ketika ancaman serangan peluru berpandu dan dron terhadap wilayah Arab Saudi semakin meningkat.

Serangan terbaharu itu berlaku ketika konflik antara kerajaan Yemen yang diiktiraf antarabangsa dengan kumpulan Houthi semakin memuncak selepas pertempuran kembali meletus pada Julai lalu. - Agensi