'Saya tak hilang, kurang aktif selepas isu mafia korporat tak diendah PKR' - Chean Chung

Iklan
Chean Chung

SHAH ALAM - Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung tampil menjelaskan bahawa dirinya tidak ‘hilang’ seperti yang didakwa Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, Chean Chung berkata, beliau hanya kurang aktif selepas isu ‘mafia korporat’ yang dibangkitkan dalam PKR tidak diendahkan.

Iklan
Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Chean Chung tidak libatkan diri dalam urusan parti sejak setahun - Anwar

‘Jangan cakap ruang disekat jika mesyuarat penting pun tak hadir’ – Bryan Ng

Iklan

Chean Chung umum letak jawatan Ahli Parlimen Petaling Jaya

Beliau yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya pada Jumaat menegaskan, dakwaan bahawa beliau menghilangkan diri daripada urusan parti selama lebih setahun adalah tidak tepat.

Iklan

“Saya tidak menjauhkan diri tanpa sebab. Saya mula kurang aktif selepas isu mafia korporat yang dibangkitkan melalui saluran dalaman tidak diendahkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Chean Chung meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan menggantung keahliannya dalam PKR selama tiga tahun.

Beliau dilaporkan berkata, tindakan itu dibuat selepas menerima keputusan penggantungan pada 30 September lalu. Beliau turut mendakwa akses kepada peruntukan RM3 juta bagi kawasan Petaling Jaya sebelum ini disekat dan peruntukan itu diserahkan kepada wakil parti untuk diuruskan.

Susulan itu, Anwar ketika ditemui pemberita memaklumkan bahawa parti tiada masalah dengan peletakan jawatan Chean Chung, sambil mendakwa wakil rakyat itu sudah lebih setahun tidak menghadiri mesyuarat mahupun kongres PKR.

Mengulas lanjut, Chean Chung mempersoalkan tindakan PKR yang didakwa tidak mempedulikan aduannya berhubung isu mafia korporat susulan pendedahan ahli perniagaan, Victor Chin, yang menuduh seorang Ahli Parlimen PKR menerima RM9.5 juta untuk ‘menyelesaikan’ masalah berkenaan.

Jelasnya, tuduhan seberat itu terhadap seorang wakil rakyat daripada parti kerajaan wajar disiasat dengan segera dan telus.

“Hingga hari ini, tiada tindakan yang diambil. Sebaliknya, saya yang mendesak supaya isu ini disiasat pula yang disekat dan dihukum.”

Beliau berkata, pada 26 Januari lalu, pihaknya meminta siasatan dijalankan berhubung isu pegangan saham berlebihan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, serta isu mafia korporat di Parlimen.

Malah, tambahnya, pada April lalu beliau turut bertemu Perdana Menteri bagi memohon supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan, namun tiada tindakan diambil.

“Pada 26 Mei, peruntukan kawasan saya disekat dan diserahkan kepada parti politik untuk menguruskannya. Pada 12 Jun, saya meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

“Pada 2 Julai, saya menerima surat tunjuk sebab daripada Lembaga Disiplin PKR. Saya menjawabnya pada 9 Julai, tetapi tiada balasan.

“Seterusnya, pada 20 Ogos, saya sendiri mengutuskan surat dan memohon kepada Lembaga Disiplin supaya pendengaran diadakan agar saya diberi peluang membela diri. Permohonan itu tidak dipedulikan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Chean Chung turut mempersoalkan hukuman yang dikenakan terhadap dirinya selepas membangkitkan isu berkaitan mafia korporat.

“Isu pokoknya bukan tentang siapa yang aktif atau tidak, tetapi mengapa salah laku yang dilaporkan tidak disiasat, sedangkan individu yang mendedahkannya pula dihukum.

“Saya kekal komited kepada rakyat Petaling Jaya dan prinsip yang membawa saya ke dalam politik, iaitu integriti, akauntabiliti serta keberanian untuk bersuara walaupun ia tidak popular,” jelasnya.