GP Bahrain di Malaysia: Hamilton terharu sokongan padu penonton di Sepang

Iklan
Lewis Hamilton (kiri) kagum dengan suasana meriah pada perlumbaan F1 GP Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026 di SIC di sini hari ini. - Foto: Bernama

JUARA dunia tujuh kali, Lewis Hamilton kagum dengan suasana meriah pada perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini hari ini.

Pemandu Ferrari yang akan bermula di petak kedua pada perlumbaan esok itu menyifatkan jumlah penonton hari ini sebagai yang terbesar pernah disaksikannya di litar ikonik berkenaan.

Iklan
Iklan

"Baiklah, maksud saya dengarkan sorakan penonton ini. Saya rasa ini adalah jumlah penonton terbesar yang pernah kita lihat di sini, sekurang-kurangnya sepanjang saya berlumba. Saya sukakan sokongan ini. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Malaysia kerana mengalu-alukan kedatangan kami,” katanya selepas sesi kelayakan.

Pemandu berusia 41 tahun itu berjaya menduduki barisan hadapan selepas mencatat masa 1 minit 35.428 saat (s), ketinggalan 0.298s di belakang juara dunia empat kali dari Red Bull Racing Max Verstappen, yang meraih petak pertama dengan catatan masa 1:35.130s.

Iklan

Hamilton, yang memenangi gelaran sulungnya bersama Ferrari pada GP Barcelona-Catalunya 2026 pada Jun lepas berkata keadaan cuaca panas terik menjadikan perlumbaan hujung minggu ini amat mencabar bagi pemandu dan pasukan.

"Keadaan di sini sangat panas, saya asyik mengatakannya tetapi keadaan itu menjadikan ia cabaran besar untuk tayar, jentera dan mekanik di garaj,” katanya.

Iklan

Hamilton berkata, pasukan itu melakukan pelbagai perubahan pada jentera sepanjang sesi latihan sebelum menemui tetapan yang membolehkannya merapatkan jurang dengan Verstappen pada sesi kelayakan.

Pemandu Britain yang pernah memenangi perlumbaan di SIC sekali pada GP Malaysia 2014 itu berkata pelarasan terakhir sebelum sesi kelayakan terbukti penting dalam membantu Ferrari mendapatkan lebih banyak prestasi.

"Saya benar-benar berterima kasih kepada pasukan saya. Kami melakukan begitu banyak perubahan sepanjang semua sesi latihan ini dan disebabkan jentera tergelincir serta tayar menjadi terlalu panas, memang amat sukar untuk mendapatkan keseimbangan yang baik.

"Kami melakukan satu lagi perubahan terakhir sebelum sesi kelayakan dan saya fikir kami berjaya mendapatkan tetapan yang tepat,” katanya.

Perlumbaan GP Bahrain di Malaysia 2026 esok akan bermula pada 3 petang. - Bernama