HARIMAU Malaya menutup tirai kalendar antarabangsa 2026 dengan nota kemenangan selepas menewaskan Yemen 2-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Zhaoqing New District Sports Center, Guangdong, China pada Selasa.
Selepas tewas 0-2 kepada China dalam aksi persahabatan pertama Sabtu lalu, skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu tampil dengan persembahan lebih meyakinkan terutama menerusi penguasaan bola menyeluruh sepanjang perlawanan.
Yemen yang berada di ranking ke-144 dunia pula terpaksa menghabiskan sebahagian besar perlawanan dengan bertahan bagi menyekat asakan Malaysia yang menghuni kedudukan ke-133 dunia.
Pemain warisan negara, Richard Chin tampil menyerlah apabila meledak dua gol dalam perlawanan itu bermula dengan jaringan pembukaan seawal minit ketujuh.
Beliau pantas menyambar bola berpunca hantaran Safwan Mazlan yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Yemen, Abdullah Abdulhakim Hasan Mohamed Al-Sadi untuk mencipta gol pertamanya bersama skuad kebangsaan.
Skuad negara terus mengasak menerusi beberapa percubaan berbahaya termasuk hantaran Ramadhan Saifullah, namun rembatan Endrick dos Santos berjaya diselamatkan Abdullah.
Bersambung babak kedua, Harimau Malaya meneruskan dominasi permainan dengan beberapa percubaan ke arah gawang Yemen, termasuk menerusi Morales pada minit ke-55 yang bagaimanapun mudah ditangkap penjaga gol lawan.
Dua minit kemudian, Richard sekali lagi menghukum kesilapan Abdullah yang gagal menangkap kemas bola untuk meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-57.
Yemen berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-78 menerusi Rauf Mohammed Al-Sheraji, namun tidak berupaya untuk mencari gol penyamaan sekali gus membolehkan Harimau Malaya menamatkan aksi antarabangsa terakhir tahun ini dengan kemenangan.